Netizen sakan rai China ‘kecilkan’ Trump dengan saiz kerusi
Lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke China kali ini bukan sahaja jadi perhatian kerana isu tarif dan perang perdagangan, tetapi juga gara-gara… kerusi.
Ya, kerusi.
Netizen di media sosial kini rancak membincangkan gambar pertemuan Trump dengan Presiden China Xi Jinping yang didakwa mempunyai “mesej psikologi” tersendiri apabila kerusi Trump kelihatan sedikit lebih kecil berbanding kerusi Xi.
Pemerhati politik dan pengguna media sosial mula membuat pelbagai analisis “optik diplomatik” selepas gambar rasmi pertemuan kedua-dua pemimpin tersebar luas di internet.
Antara yang menarik perhatian ialah perkongsian pengguna Facebook, Mazlan Mohamad yang mendakwa China sengaja mengatur setiap perincian visual lawatan Trump bagi menunjukkan imej negara itu lebih dominan berbanding Amerika Syarikat.
“Trump nampak kecil dibandingkan dengan Xi Jinping. Ini kerana kerusinya kecil sikit berbanding kerusi rakan sejawatnya,” tulisnya.
Menurut beliau, susunan tempat duduk tersebut dipercayai bukan kebetulan, sebaliknya sebahagian daripada strategi komunikasi visual yang sering digunakan dalam diplomasi kuasa besar.
Mazlan mendakwa China sememangnya terkenal dengan pendekatan yang sangat teliti dalam soal simbolik, protokol dan imej ketika menerima pemimpin asing.
Dengan Xi Jinping duduk di kerusi lebih besar dan tampak lebih santai, beliau berkata imej yang terhasil memberi gambaran bahawa China berada dalam posisi lebih yakin dan mengawal keadaan.
Sementara itu, Trump pula kelihatan lebih “kecil” dan kurang dominan berbanding kebiasaannya.
Di media sosial, ramai netizen Malaysia terus “masuk gear” membuat lawak mengenai situasi tersebut.
Ada yang berseloroh mengatakan tarif mungkin belum tentu dapat “kalahkan” Trump, tetapi kerusi China nampaknya berjaya.
Tidak kurang juga yang membandingkan situasi itu dengan budaya majlis Melayu yang sangat sensitif terhadap jenis kerusi VIP, kedudukan sofa dan ketinggian pentas.
Malah ada pengguna media sosial bergurau bahawa China mungkin memahami konsep “siapa kerusi besar, dia boss” lebih baik daripada negara lain.
Walaupun tiada bukti rasmi bahawa susunan kerusi itu disengajakan, ramai pemerhati mengakui aspek visual sememangnya memainkan peranan besar dalam diplomasi antarabangsa moden.
Dalam dunia geopolitik hari ini, bukan sekadar ucapan dan dokumen rasmi menjadi perhatian, tetapi juga bahasa tubuh, posisi berdiri, susunan bendera malah saiz kerusi pun boleh menjadi bahan analisis global.
China sebelum ini memang terkenal dengan pendekatan diplomasi simbolik yang sangat dikawal termasuk sudut kamera, protokol berjalan dan kedudukan pemimpin ketika sidang media.
Apa pun, sama ada benar sekadar kebetulan atau memang strategi halus Beijing, satu perkara jelas internet tidak pernah mengecewakan apabila tiba bab mencari “barang tersembunyi” dalam gambar pemimpin dunia.
BACA JUGA Agong mahu kebajikan guru terus diperkasa