Sempena hari guru : Anwar imbau ajar pelajar tercicir pada 1970-an
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau pengalaman beliau sebagai tenaga pengajar pada awal 1970-an ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik, sambil menegaskan tugas seorang guru jauh lebih besar daripada sekadar mengajar di bilik darjah.
Sempena sambutan Hari Guru hari ini, Anwar berkata pengalaman mendidik anak muda daripada keluarga susah dan tercicir pendidikan menjadi antara detik penting yang membentuk kefahamannya mengenai makna sebenar pendidikan.
Menurut beliau, ramai pelajar ketika itu datang dengan keresahan tentang masa depan hidup mereka, sekali gus membuka matanya bahawa guru memainkan peranan besar dalam membina keyakinan dan maruah insan.
“Tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata jasa guru bukan sahaja membentuk pencapaian akademik pelajar, tetapi turut mencorakkan akhlak, nilai dan ketamadunan negara.
Beliau menyifatkan golongan pendidik sebagai tunjang utama pembinaan anak bangsa yang menentukan arah masa depan Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, cabaran dunia hari ini yang semakin kompleks menjadikan peranan guru lebih penting berbanding sebelum ini.
Katanya, generasi muda bukan sekadar memerlukan ilmu pengetahuan, tetapi juga kekuatan jiwa, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan dalam menghadapi perubahan zaman.
Anwar turut mengaitkan peranan tersebut dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan nilai, adab dan kemanusiaan.
“Tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah,” katanya lagi.
Perkongsian Perdana Menteri itu turut menarik perhatian ramai kerana tidak ramai mengetahui beliau pernah terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan sebelum aktif sepenuhnya dalam politik nasional.
Yayasan Anda Akademik yang ditubuhkan Anwar pada awal 1970-an sebelum ini dikenali sebagai antara institusi yang memberi peluang kedua kepada pelajar tercicir untuk menyambung pendidikan.
Di media sosial, ramai netizen turut berkongsi pengalaman mereka bersama guru-guru yang dianggap banyak mengubah perjalanan hidup masing-masing.
Ada juga yang menyifatkan mesej Hari Guru oleh Anwar kali ini lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman kehidupan sebenar berbanding sekadar ucapan rasmi tahunan.
Dalam suasana dunia pendidikan yang kini berdepan cabaran teknologi, AI dan perubahan sosial yang pantas, penghargaan terhadap peranan guru terus menjadi antara tema utama sambutan Hari Guru tahun ini.
Anwar turut mendoakan agar seluruh warga pendidik terus diberikan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi masa depan Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan tema sambutan tahun ini “Guru Bitara Nadi Negara.”
BACA JUGA Netizen sakan rai China ‘kecilkan’ Trump dengan saiz kerusi