Ekonomi Malaysia masih ‘pecut’ 5.4%” – kerajaan MADANI lepasi jangkaan lagi

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan apabila berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan konflik berterusan di Asia Barat.

Pencapaian itu sekali lagi mengatasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan median ramalan Bloomberg yang sebelum ini meletakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.3 peratus.

Ini juga menjadi suku kedua berturut-turut Malaysia mencatat pertumbuhan melepasi jangkaan pasaran.

Kementerian Kewangan berkata momentum tersebut mencerminkan keberkesanan disiplin fiskal dan tatakelola ekonomi Kerajaan MADANI walaupun ekonomi global masih tidak stabil.

Menurut kenyataan itu, permintaan domestik kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila berkembang sebanyak 5.2 peratus hasil sokongan pasaran buruh yang kukuh dan peningkatan pendapatan boleh guna rakyat.

Antara faktor yang membantu termasuk pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam serta bantuan berterusan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dalam masa sama, sektor pelaburan teknologi turut kekal rancak khususnya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang terus menerima pelaburan besar susulan dasar kerajaan yang dianggap mesra pelabur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan reformasi Ekonomi MADANI yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan, kebajikan rakyat dan pengurusan fiskal bertanggungjawab membantu memperkukuh momentum ekonomi negara.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi Malaysia kini meningkat daripada 5.2 peratus pada 2024 dan 2025 kepada 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

Anwar berkata pengurusan fiskal yang lebih tersusun turut membolehkan kerajaan mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta penambahbaikan bantuan di bawah BUDI Diesel.

Selain pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran negara juga terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila turun kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad.

Pada masa sama, kadar inflasi kekal sederhana pada 1.6 peratus sepanjang suku tersebut sekali gus membantu mengekalkan daya beli pengguna.

Ringgit juga terus mengukuh sebagai antara mata wang terbaik di Asia manakala pasaran saham tempatan menunjukkan prestasi lebih stabil dengan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih mencecah RM22.8 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Menurut kerajaan, perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap hala tuju ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui konflik di Asia Barat masih berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi global terutama melalui kenaikan kos tenaga, logistik dan rantaian bekalan antarabangsa.

Susulan itu, Kerajaan MADANI menubuhkan pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau perkembangan semasa dan menyelaras tindakan segera sekiranya berlaku gangguan ekonomi lebih serius.

Sehingga 14 Mei 2026, kerajaan turut menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pinjaman perniagaan, pembiayaan mikro dan skim jaminan.

Menurut Anwar, keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara sambil memastikan hasil pertumbuhan ekonomi benar-benar dapat dirasai rakyat.

BACA JUGA Sempena hari guru : Anwar imbau ajar pelajar tercicir pada 1970-an