Konvensyen PH esok bakal tentukan nada hubungannya dengan Umno Johor

ANALISIS
Oleh BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan meletakkan halatuju hubungannya dengan Barisan Nasional (BN) Johor menerusi konvensyennya yang akan berlangsung esok.

Dengan hubungan yang tidak berapa baik antara kerajaan negeri Johor dengan Kerajaan Pusat khasnya antara pemimpin Umno Johor dengan PH Johor, konvensyen kali ini dijangka menarik perhatian ramai.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, amanat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjadi panduan kepada jentera pilihan raya gabungan berkenaan, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional, termasuk aspek persiapan dan rundingan kerusi.

“Konvensyen ini sudah pasti akan menjadi paluan gendang perang pertama bagi PH di peringkat kebangsaan dan akan menetapkan nada serta ritma gerak kerja PH ke depan.

“Melalui amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan mendapat hala tuju lebih jelas mengenai perancangan Pakatan Harapan, termasuk berkaitan kemungkinan berlakunya PRN di Johor dan Melaka.

“Ia juga akan mengingatkan usaha Menteri-Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk anggota Kabinet dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang sekian lama membelenggu mereka dan kini berjaya dirungkai,” katanya.

Pada konvensyen ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat khas di Persada Johor International Convention Centre pada 17 Mei ini.

Konvensyen itu dijangka menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara mewakili PKR, AMANAH dan DAP, selain menampilkan amanat pimpinan utama serta sesi perbahasan wakil negeri.

Isu paling besar yang bakal mewarnai konvensyen ini adalah hubungan dingin antara Umno dengan PH di Johor.

Walaupun BN dan PH bergabung dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, di Johor hanya ada kerajaan Umno.

Ini kerana, tidak ada seorang pun wakil PH dalam kerajaan negeri Johor bahkan kesemua 12 Adun PH (dari 56 semuanya) dianggap mewakili parti pembangkang di Johor.

Tidak ada sebarang peruntukan diberikan kepada wakil rakyat PH di Johor, begitu juga tidak ada wakil PH dalam kepimpinan peringkat akar umbi di Johor.

Yang paling ketara, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz juga dianggap tidak menghormati kepimpinan kerajaan Malaysia di peringkat pusat.

Ketika semua pemimpin negeri menyertai Taklimat Khas oleh Perdana Menteri mengenai kesan perang di Timur Tengah, satu-satunya ketua negeri yang tidak hadir ke taklimat ini adalah Onn Hafiz.

Kerajaan Johor juga dilihat cuba menutup peruntukan dari Pusat kepada negeri itu dengan membayangkan ianya adalah bajet dari kerajaan negeri.

Antaranya program Sejati Madani. Kerajaan Johor membayangkan peruntukan RM100,000 kepada setiap peserta projek ini di Johor adalah dari kerajaan negeri padahal ia sangat jelas dari pusat.

Dengan gendang pilihan raya kecil dipalu di negeri Johor sekarang, Konvensyen PH esok dijangka akan menentukan hala tuju hubungan antara BN dan PH di Johor ini.

Ketika Umno Johor sangat galak untuk bergerak solo dalam PRN ini, PH juga nampaknya mahu menunjukkan sokongan kepada mereka bukan sekadar 12 dari 56 kerusi sahaja di Johor.

Ini kerana, BN menang dengan jumlah kerusi yang besar itu berlaku ketika Umno di puncak pengaruhnya. Namun ketika PRU 15 selepas itu, PH menang 14 kerusi, manakala BN 11 dan Muda 1.

Oleh itu, wajar sekali Umno Johor berpijak di bumi nyata dan tidak merosakkan hubungan baik yang telah terjalin di peringkat pusat, kecuali Umno sememangnya tidak berkuasa di Johor tetapi dikuasai pihak lain yang mencucuk hidungnya.

BACA JUGA Konvensyen PH pentas muhasabah penting menuju PRU16