1MDB belum habis : Mahkamah Singapura buka laluan siasat entiti didakwa terlibat
Skandal 1MDB kembali menjadi perhatian apabila Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan permohonan terhadap beberapa entiti diperbadankan di Virgin British Islands (BVI) yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana syarikat pelaburan negara itu.
Keputusan tersebut dimaklumkan Angela Barkhouse dan Toni Shukla daripada Kroll Limited yang bertindak sebagai wakil asing serta penyelesai bersama bagi entiti terbabit.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Singapura sebelum ini menolak cubaan BSI Bank dan Standard Chartered untuk campur tangan dalam permohonan penggulungan syarikat berkenaan.
“Kami berpuas hati apabila permohonan ini dibenarkan Mahkamah Tinggi Singapura,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Mereka berkata keputusan terbaru itu dianggap perkembangan positif dalam usaha memastikan institusi kewangan dan individu yang didakwa memainkan peranan dalam skandal 1MDB dapat dipertanggungjawabkan.
Menurut Barkhouse dan Shukla, keputusan mahkamah juga akan membolehkan penyelesai yang dilantik mengambil tindakan lanjut terhadap pihak yang didakwa memudahkan aktiviti penipuan melibatkan syarikat tersebut.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Singapura turut menolak cubaan BSI Bank dan Standard Chartered untuk campur tangan atas alasan kedua-dua institusi kewangan itu tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang.
Malah kedua-dua bank terbabit juga diarahkan membayar kos berkaitan tindakan tersebut.
Susulan keputusan terbaru itu, pihak penyelesai memaklumkan bahawa tuntutan statutori terhadap SCB Singapura dan BSI Singapura dijangka difailkan dalam masa terdekat.
Menurut mereka, tindakan tersebut akan berjalan seiring dengan beberapa tuntutan lain yang sedang berlangsung terhadap bank terbabit.
Ia termasuk dakwaan membantu secara tidak jujur, gagal melaksanakan tanggungjawab perbankan dengan tahap kemahiran dan penjagaan munasabah serta kemungkinan pelanggaran mandat perbankan.
Kesemua dakwaan tersebut dikaitkan dengan syarikat yang kini memasuki proses penyelesaian di Singapura.
Barkhouse dan Shukla berkata matlamat utama tindakan undang-undang tersebut ialah mendapatkan semula aset yang dipercayai diseleweng daripada dana asal yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat Malaysia.
Menurut mereka, usaha itu penting bagi memastikan aset yang didakwa hilang akibat penyelewengan dapat dijejaki dan dipulangkan semula.
Skandal 1MDB sebelum ini menjadi antara kes kewangan terbesar dunia yang mencetuskan siasatan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland.
Walaupun beberapa tindakan pemulihan aset telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu, perkembangan terbaru di Singapura menunjukkan proses undang-undang berkaitan 1MDB masih jauh daripada selesai.
Di media sosial, berita tersebut kembali menghidupkan perbincangan mengenai bagaimana skandal 1MDB terus memberi kesan besar terhadap reputasi kewangan dan politik Malaysia di peringkat antarabangsa.
BACA JUGA Ekonomi Malaysia masih ‘pecut’ 5.4%” – kerajaan MADANI lepasi jangkaan lagi