PM lancar Skim Paduri Madani untuk lahirkan 29,000 usahawan Wanita
Skim Paduri Madani di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhasrat untuk melahirkan 29,000 usahawan Wanita melalui peruntukan RM230 juta.
“Saya tegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan dan memperkasa rakyat mesti diteruskan secara menyeluruh, inklusif dan berterusan,” kata PM Anwar Ketika melancarkan skim baharu untuk usahawan Wanita di Bawah B40 itu.
Dalam suasana ekonomi dunia yang terus berdepan ketidaktentuan, tekanan kos sara hidup serta cabaran rantaian bekalan global, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih berani dan ihsan agar peluang menjana pendapatan dapat diperluas khususnya kepada golongan yang paling memerlukan.
Katanya, Skim Paduri Madani akan membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk bangkit membina kehidupan yang lebih bermaruah melalui keusahawanan, termasuk mereka yang pernah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis.
Tanpa keperluan penjamin atau cagaran, skim ini memberi peluang kedua kepada rakyat untuk memulakan langkah baharu demi masa depan keluarga mereka.
“Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Skim ini juga bersifat inklusif dengan menyasarkan wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di bandar dan luar bandar agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih adil dan menyeluruh,” katanya.
Bagi beliau, keupayaan wanita dalam bidang keusahawanan bukan sahaja penting dalam memperkukuh ekonomi keluarga, malah menjadi antara pemacu utama kepada ketahanan ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berperikemanusiaan.
BACA JUGA Sempena hari guru : Anwar imbau ajar pelajar tercicir pada 1970-an