Fahmi tinjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor Bahru

FOTO BERITA: Sesi Lawatan Tapak dan sidang media oleh Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan KEADILAN, YB Datuk Fahmi Fadzil serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP YB Syahredzan Johan dan Datuk Ashraf Mukhlis Minghat Pengerusi Anak Melaka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.16hb Mei 2026 (Sabtu)

Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil hari ini mengetuai sesi lawatan tapak sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Persada Johor International Convention Centre bagi meninjau persiapan akhir menjelang himpunan besar gabungan itu esok. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan serta Pengerusi Anak Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat Pengerusi Amanah Melaka dan Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib

Menurut sekretariat konvensyen, lawatan itu memberi fokus kepada aspek susun atur dewan, pelan aliran pergerakan, laluan khas pimpinan serta kemudahan teknikal termasuk capaian internet dan ruang media.

Fahmi berkata, setakat ini segala persiapan berjalan lancar dengan hanya beberapa penyesuaian kecil sedang dilakukan terutama melibatkan lokasi media bagi memastikan akses audio dan kemudahan teknikal berada pada tahap terbaik.

“Keutamaan kita adalah memastikan rakan-rakan media mempunyai ruang yang selesa dan akses yang baik untuk menjalankan tugasan sepanjang konvensyen berlangsung,” katanya dalam sidang media selepas lawatan tapak itu.

Beliau memaklumkan konvensyen dijadual bermula seawal jam 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran sebelum diteruskan dengan sesi podcast bersama sayap wanita dan pemuda Pakatan Harapan sekitar jam 8.30 pagi.

Menurutnya, sesi pembahasan akan berlangsung sehingga tengah hari melibatkan wakil negeri serta pimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan termasuk ketua menteri dan menteri besar.

Konvensyen itu kemudiannya disambung semula pada sebelah petang dengan ucapan Setiausaha Agung Pakatan Harapan serta pimpinan utama DAP dan AMANAH sebelum kemuncaknya amanat oleh Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Fahmi berkata, pihak penganjur kini menjangkakan kehadiran melebihi 5,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, jauh lebih tinggi daripada sasaran awal sekitar 3,000 peserta.

“Kontinjen terbesar dijangka datang dari kawasan Parlimen sekitar Johor. Sambutan diterima amat menggalakkan dan kita doakan semua perwakilan selamat tiba,” katanya. Menurutnya, kestabilan politik kerajaan perpaduan kekal menjadi fokus utama bagi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar dan bantuan langsung kepada rakyat.

Mengulas hubungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, Fahmi berkata kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan akan terus diperkukuhkan berdasarkan persefahaman yang dimeterai sejak pembentukan kerajaan pada Disember 2022. Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen akan terus diselesaikan menerusi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan secara tertib dan tersusun.

Selain konvensyen utama, satu Ceramah Perdana dan rapat umum turut dijadual berlangsung di Puteri Wangsa pada jam 5 petang esok dengan kehadiran Anwar turut dijangka bagi menyampaikan ucapan kepada rakyat dan penyokong Pakatan Harapan.