Indeks Persepsi Rasuah kini dalam hala tuju untuk pulih

Usaha Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membanteras rasuah dijangka akan menunjukkan pemulihan dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI).

Begitu pun kata Veteran DAP, Lim Kit Siang, banyak lagi perkara perlu dilakukan jika Malaysia ingin menjadi antara negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menduduki carta teratas dalam kedudukan TI-CPI.

“Dengan usaha membanteras rasuah oleh Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar dalam lima bulan yang lepas, Malaysia kini berada dalam hala tuju untuk menunjukkan pemulihan kedudukan carta TI-CPI dalam beberapa tahun yang akan datang.

“Namun, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan. Kedudukan terbaik negara kita dalam TI-CPI dalam dekad yang lepas adalah pada tahun 2020 apabila kita berada di tempat ke-57 dengan markah 51 mata.

“Malangnya, konspirasi politik Langkah Sheraton terjadi pada Februari 2020 dan Malaysia terus kembali ke arah kemerosotan dalam TI-CPI untuk dua tahun yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang menambah, Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pasti akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia negara OIC teratas dalam TI-CPI.

“Namun, adakah Hadi Awang yang sebelum ini menyalahkan orang bukan Melayu atas masalah rasuah di Malaysia, akan menerima cita-cita untuk menjadikan Malaysia negara OIC teratas dalam penerbitan TI-CPI setiap tahun?” bidasnya.

Untuk rekod, Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) membaiki kedudukannya dengan berada di tangga 61 daripada 180 negara dalam indeks CPI 2018 berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Prestasi Malaysia terus memulih ke tangga ke-51 dalam CPI 2019.

Walau bagaimanapun, prestasi negara merosot dalam CPI 2020 apabila jatuh ke kedudukan ke 57, disabitkan dengan perubahan kerajaan secara mengejut susulan Langkah Sheraton pada awal 2020.

CPI 2021 pula menyaksikan negara terus menjunam ke kedudukan 62, dan naik satu mata ke kedudukan 61 dalam CPI 2022.

BACA JUGA Kerajaan beri komitmen kaji upah penjawat awam, seru hapuskan rasuah bersama

Â