Konvensyen ini bukan sekadar penuhkan dewan : Mat Sabu seru PH pertahan harapan rakyat
Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan pimpinan serta penyokong Pakatan Harapan bahawa perhimpunan politik bukan sekadar soal kehadiran ramai, tetapi membawa tanggungjawab mempertahankan harapan rakyat terhadap masa depan negara.
Dalam mesej sempena konvensyen Pakatan Harapan hari ini, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata perjuangan gabungan itu tidak pernah mudah kerana berdepan pelbagai cabaran, tohmahan dan ujian politik.
Namun beliau menegaskan semangat perjuangan perlu terus dipertahankan demi rakyat dan masa depan negara.
“Kita berhimpun hari ini bukan sekadar memenuhi dewan, tetapi membawa satu tekad besar, mempertahankan harapan rakyat dan membina masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan PH terletak pada kesatuan serta keyakinan untuk terus bergerak ke hadapan walaupun berdepan tekanan politik semasa.
“Ayuh kita rapatkan saf, kuatkan kesatuan dan terus melangkah ke hadapan dengan keberanian, keikhlasan dan keyakinan,” katanya lagi.
Mat Sabu turut menegaskan perjuangan politik tidak seharusnya tertumpu kepada mana-mana individu semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan kepentingan rakyat serta masa depan generasi akan datang.
“Perjuangan ini bukan tentang individu. Perjuangan ini adalah tentang rakyat.
“Tentang masa depan anak-anak kita. Tentang Malaysia yang lebih adil, lebih makmur dan lebih bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh anggota PH supaya terus istiqamah mempertahankan agenda reformasi dan semangat gabungan itu dalam mendepani cabaran politik serta ekonomi semasa.
BACA JUGA Perpaduan jadi benteng ketika dunia tak menentu, pesan Anwar