KONVENSYEN PH | Kerajaan bukan turun dari syurga – Ketua AMK Selangor pesan anak muda nilai kerja, bukan emosi
Ketua Angkatan MUDA KEADILAN(AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata anak muda perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan usaha dan pencapaian yang dilakukan, bukan hanya melihat kepada kelemahan semata-mata.
Menurut Adun Kota Damansara itu, kerajaan hari ini bukan sebuah pentadbiran yang sempurna, namun pelbagai perkara telah berjaya dilakukan sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir negara.
“Ini bukan kerajaan yang sempurna atau kerajaan yang heaven made yang memang diciptakan dalam syurga. Kita manusia ini ada juga kesilapan dan kekurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan dalam mengenai harapan terhadap generasi muda dalam menilai landskap politik semasa.
Menurut Izuan, anak muda perlu membaca, memahami dan melihat sendiri perubahan yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum membuat sesuatu penilaian politik.
Katanya, banyak dasar yang dilaksanakan ketika ini bukan sekadar demi memastikan kerajaan terus kekal berkuasa, sebaliknya bertujuan membina asas yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Apa yang diselesaikan hari ini bukan hanya semata-mata untuk kekal menjadi kerajaan, tapi membantu dan memberikan kebaikan kepada masyarakat khususnya anak-anak muda,” ujarnya.
Kenyataan itu turut menarik perhatian netizen selepas petikan ucapannya mula dikongsi di media sosial dengan ramai menyifatkan pendekatan beliau lebih jujur dan dekat dengan realiti politik semasa.
Dalam masa sama, ada juga yang melihat mesej tersebut sebagai peringatan kepada golongan muda agar tidak membuat penilaian berdasarkan sentimen semata-mata tanpa melihat pencapaian serta dasar yang telah dilaksanakan.