KONVENSYEN PH | Jangan harap kekuatan orang lain untuk menang – Amin Ahmad
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Amin Ahmad mengingatkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan supaya tidak terlalu bergantung kepada kekuatan sekutu politik semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh kekuatan sendiri menjelang pilihan raya akan datang.
Berucap dalam konvensyen PH bertemakan Tekad MADANI, Harapan Rakyat, beliau berkata desas-desus pilihan raya negeri dan persiapan menghadapi PRU16 kini semakin menjadi perhatian rakyat susulan tempoh DUN Melaka dan Johor yang hampir tamat.
“Dalam politik, kita tidak boleh bersandar kepada alasan. Kita mesti sentiasa berusaha memperkuatkan parti dan kerjasama antara parti.
“Dalam kata lain, kita mestilah berdiri atas kaki sendiri dan tidak mengharapkan kekuatan pihak lain untuk kita menang,” katanya.
Amin turut mengimbau sejarah panjang pembentukan PH yang lahir daripada pelbagai krisis politik negara sejak gerakan Reformasi 1998 yang dipelopori Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, PH melalui beberapa fasa kerjasama politik termasuk Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan akhirnya Pakatan Harapan sebelum berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah negara pada PRU14.
Namun katanya, gabungan itu turut melalui episod pengkhianatan politik sehingga memasuki PRU15 dalam keadaan sukar sebelum kembali membentuk kerajaan perpaduan bersama BN, GPS dan GRS.
“Jangan hanya ingat ada dalam kalangan kita yang sukar menjalankan kerjasama ini, mereka juga merasakan perkara yang sama,” katanya.
Dalam masa sama, Amin mempertahankan pencapaian Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dengan menyatakan Malaysia kini kembali dihormati di peringkat antarabangsa menerusi dasar luar, pengurusan ekonomi serta pendekatan anti-rasuah yang lebih tegas.
Beliau berkata pengukuhan ekonomi, pembangunan negara dan tindakan terhadap “jerung-jerung besar” dalam isu rasuah membuktikan perubahan sedang berlaku walaupun belum sempurna.
“Sudah tentu ia tidak sempurna, namun secara perbandingannya ia jauh lebih baik berbanding dulu kala,” ujarnya.
Amin turut menyeru ahli dan penyokong PH menjadi “penyebar kebaikan” dengan membantu menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat secara lebih proaktif.