KONVESYEN PH | 14 menteri dicadang ambil 14 Parlimen di Kelantan sebagai kawasan angkat
Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor mencadangkan agar 14 menteri persekutuan mengambil 14 kawasan Parlimen di Kelantan sebagai kawasan angkat bagi membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat negeri itu tanpa mengira fahaman politik.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memperlihatkan komitmen kerajaan pusat untuk turun padang memahami masalah rakyat secara lebih dekat selain memastikan pembangunan di Kelantan tidak dipinggirkan.
“Ini menunjukkan kerajaan Persekutuan serius untuk membantu rakyat Kelantan dan memastikan setiap kawasan mendapat perhatian,” katanya ketika berucap dalam konvensyen Pakatan Harapan.
Beliau berkata pendekatan itu juga penting bagi memastikan rakyat dapat melihat sendiri usaha yang sedang dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, walaupun Kelantan sering dilihat sebagai negeri mencabar buat Pakatan Harapan, usaha mendekati rakyat tidak pernah dihentikan.
Beliau turut menyeru jentera parti supaya memanfaatkan peluang tersebut dengan memperkukuh gerak kerja akar umbi dan menjelaskan dasar kerajaan kepada masyarakat.
Katanya, pendekatan turun terus ke kawasan dan menyelesaikan isu rakyat lebih berkesan berbanding retorik politik semata-mata.
Strategi “Parlimen angkat” tersebut sebagai usaha lebih tersusun kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh sokongan di Kelantan menjelang PRU16.
Beliau juga, menyeru agar kesetiaan dan keikhlasan anggota parti selama ini menjadi kekuatan utama kepada perjuangan gabungan itu.
“Insya-Allah dengan kesetiaan dan keikhlasan yang ditunjukkan selama ini, kita akan bergerak dengan lebih maju dan kita nobatkan sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, konvensyen berkenaan bukan sekadar medan berkumpul, tetapi ruang menentukan hala tuju perjuangan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.