KONVENSYEN PH | Di bawah PH, terbukti MA63 bukan sekadar manifesto – Mustapha Sakmud
Datuk Mustapha Sakmud berkata komitmen Pakatan Harapan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar slogan politik ketika pilihan raya, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada perjuangan parti sejak sekian lama.
Dalam ucapan bertemakan di Konvensyen Pakatan Rakyat, beliau berkata PH tidak pernah gagal mengangkat isu hak Sabah dan Sarawak dalam setiap pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri.
“Pakatan Harapan tidak pernah terlepas untuk mengangkat isu MA63 sebagai manifesto,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak). .
Menurut beliau, komitmen tersebut turut termaktub dalam Perlembagaan PKR yang menegaskan perjuangan melaksanakan dan mempertahankan MA63.
Katanya, sebelum menjadi kerajaan lagi, PKR dan PH telah berjaya mendesak kerajaan ketika itu untuk mengiktiraf Hari Malaysia sebagai cuti umum negara.
“Kita berjaya pada tahun 2009 apabila Hari Malaysia menjadi cuti umum kepada negara kita,” katanya lagi.
Mustapha turut memuji langkah Kerajaan MADANI pimpinan datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya terus memperkukuh pengiktirafan terhadap Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan pada tahun lalu turut menambah cuti berkaitan sambutan Hari Malaysia sebagai simbol penghargaan terhadap pembentukan Malaysia.
“Ini maknanya kita amat komited sebelum menjadi kerajaan dan juga semasa kita menjadi kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai langkah telah diambil untuk memperkasa pembangunan Sabah dan Sarawak selain memastikan hak kedua-dua wilayah terus diberi perhatian.