KONVENSYEN PH | Jangan leka, rakyat sedang menguji kerajaan reformasi ini – Adam Adli

Adam Adli Abd Halim mengingatkan anggota Pakatan Harapan supaya tidak leka dengan kuasa dan kemudahan selepas berada dalam kerajaan kerana rakyat kini sedang menilai keikhlasan perjuangan gabungan itu.

Berucap selaku Pengerusi PKR Melaka pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026, beliau berkata kerajaan hari ini sedang melalui tempoh yang sangat mencabar apabila rakyat mahu melihat sama ada PH masih berpegang kepada prinsip reformasi yang diperjuangkan sejak sekian lama.

“Kita berhimpun pada satu waktu yang sangat getir.

“Menguji kita pada kesetiaan kepada perjuangan, prinsip dan pegangan kita selama ini,” katanya.

Menurut Adam Adli, sedikit keselesaan selepas menjadi kerajaan tidak seharusnya mengubah roh perjuangan atau menyebabkan pimpinan dan anggota parti jauh daripada realiti rakyat.

“Walaupun ada sedikit kelapangan, ada sedikit kemudahan dan kesenangan berbanding sebelum ini, ia tidak seharusnya melekakan kita,” katanya lagi.

Beliau berkata rakyat kini sedang memerhatikan keberanian dan keikhlasan kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi global, tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Saya percaya rakyat hari ini sedang menilai keberanian, keikhlasan dan tekad kita,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Adam Adli turut mengakui bahawa menjadi pembangkang sebenarnya jauh lebih mudah berbanding mentadbir negara kerana kerajaan perlu membuat keputusan dalam suasana yang kompleks dan penuh tekanan.

“Kalau ditanya kepada kita, mana lebih mudah jadi kerajaan atau jadi pembangkang? Jadi pembangkang mudah,” katanya disambut tepukan hadirin.

Beliau turut menggunakan analogi kapal dilanda ribut untuk menggambarkan perjalanan panjang PH yang pernah melalui pelbagai cabaran termasuk pengkhianatan politik, tekanan dalaman dan keraguan penyokong sendiri.