KONVENSYEN PH | Amin guna analogi “khianat kapal bocor”, naikkan semangat jentera PH
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggunakan analogi sebuah kapal bocor akibat “ditebuk orang sendiri” bagi menggambarkan episod pengkhianatan politik yang dilalui di Negeri Sembila.
Dalam ucapan penuh semangat di Konvensyen Pakatan Harapan, beliau berkata PH sebelum ini dibina seperti sebuah kapal besar yang kukuh dan mampu mengharungi pelbagai badai perjuangan bersama.
“Kami di Negeri Sembilan ada sebuah kapal besar. Kapal yang kita bina cukup hebat, besar dan kukuh. Tak makan badai,” katanya.
Namun menurut beliau, masalah mula timbul apabila ada pihak dalam perjuangan sendiri bertindak “menebuk kapal” sehingga menyebabkan kebocoran.
“Mereka tebuk dari dalam. Kapal ditebuk, air masuk,” katanya sambil disambut gelak ketawa dan tepukan hadirin.
Beliau kemudian berseloroh mungkin kapal tersebut terlupa dibina “kolam renang”, menyebabkan ada pihak mula tidak selesa dan memilih meninggalkan perjuangan bersama.
Walaupun disampaikan dalam nada santai, ucapan itu jelas merujuk kepada episod pengkhianatan politik yang pernah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Jelasnya, walaupun usaha khianat itu gagal tetapi tetap ada tanda dan kesannya kepada kerajaan yang diterajuinya.
“Itulah tanda ada pengkhianatan sebelum ini,” katanya lagi.
Aminuddin berkata pengalaman tersebut perlu dijadikan pengajaran buat seluruh jentera PH supaya terus memperkukuh kesetiaan dan disiplin parti.
Menurut beliau, semua negeri mahu mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang, namun anggota parti perlu akur kepada keputusan pimpinan pusat demi memastikan kekuatan gabungan terus terpelihara.
“Apa juga keputusan yang diberikan oleh presiden dan pimpinan parti, kita harus hormati.
“Untuk kita kuat, kita kena akur,” ujarnya.
Ucapan beliau mendapat perhatian hadirin apabila ramai melihat analogi “kapal bocor” itu sebagai sindiran sinis tetapi penuh makna terhadap episod pergolakan politik lalu, selain berjaya membakar semangat jentera PH menjelang pilihan raya akan datang.