KONVENSYEN PH | Biarkan mahasiswa menjerit : Pemuda PH pertahan suara anak muda
Woo Kah Leong menggesa kerajaan supaya tidak menyekat kebebasan mahasiswa dan anak muda untuk bersuara, termasuk melalui demonstrasi serta gerakan aktivisme di kampus.
Dalam ucapan penuh bersemangat di Konvensyen Pakatan Harapan, beliau berkata generasi muda hari ini bukan sekadar pewaris masa depan negara, tetapi perlu diberi ruang memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara mulai sekarang.
“Kita jangan sentuh anak-anak muda, mahasiswa yang berdemonstrasi di luar sana.
“Biarkan mereka menjerit, biarkan mereka melawan,” katanya disambut tepukan hadirin.
Woo berkata ramai pimpinan PH sendiri lahir daripada gerakan mahasiswa dan pernah memperjuangkan kebebasan kampus termasuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Menurut beliau, mahasiswa yang berjaya memasuki universiti dan menamatkan pengajian sewajarnya diberi kepercayaan untuk berfikir secara matang serta kritikal.
“Tak mungkin untuk kita jadikan mereka sebagai pewaris negara pada masa hadapan saja. Patutnya mereka adalah pewaris negara pada masa ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Woo turut mengingatkan pimpinan PH supaya lebih serius mendekati kelompok pengundi muda terutama generasi Undi18.
Katanya, ramai pelajar sekolah menengah hari ini lebih mengenali budaya pop seperti K-pop dan Blackpink berbanding tokoh politik negara.
“Bila kita sebut tentang Undi18, mereka mungkin tak tahu siapa Anwar Ibrahim atau Hadi Awang. Apa yang mereka tahu, mereka tahu Blackpink dan K-pop,” katanya.
Beliau berkata pendidikan demokrasi perlu dimulakan lebih awal di sekolah dan tidak hanya apabila pelajar memasuki universiti.
Dalam ucapannya juga, Woo secara sinis menyentuh tindakan pihak tertentu yang mahu bergerak solo dalam pilihan raya akan datang meskipun pernah berada dalam kerjasama politik bersama PH.
“Kita tak nak ada insiden kacang lupakan kulit untuk berlaku sekali lagi,” ujarnya.
Ucapan beliau mendapat perhatian hadirin kerana dianggap antara sesi paling lantang menyuarakan isu anak muda, demokrasi kampus dan cabaran politik semasa dalam konvensyen tersebut.