KONVENSYEN PH | Suasana penuh sesak, sebahagian peserta terpaksa duduk atas lantai
Suasana Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor hari ini berlangsung dalam keadaan penuh sesak apabila kehadiran peserta dari seluruh negara dilihat memenuhi ruang dewan seawal pagi.
Tinjauan di lokasi mendapati sebahagian peserta termasuk perwakilan wanita terpaksa duduk di atas lantai kerana tempat duduk yang disediakan tidak lagi mencukupi.
Walaupun begitu, suasana dalam dewan kekal meriah dengan peserta dilihat terus mengikuti ucapan pimpinan utama Pakatan Harapan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di skrin utama konvensyen.
Kebanyakan peserta hadir mengenakan pakaian rasmi Pakatan Harapan sambil membawa beg merah tertera logo “Harapan”, sekali gus mewarnai suasana dewan dengan identiti gabungan tersebut.


Ada peserta dilihat duduk bersila di tepi dewan, manakala sebahagian lagi berdiri berhampiran pintu masuk bagi mengikuti perjalanan program.
Konvensyen yang menghimpunkan pimpinan dan akar umbi PH dari seluruh negara itu turut menyaksikan kehadiran wakil Pemuda, Wanita serta pimpinan parti komponen PKR, DAP dan AMANAH.

Beberapa peserta yang ditemui berkata keadaan sesak itu menunjukkan semangat akar umbi PH masih kuat menjelang perbincangan mengenai hala tuju gabungan tersebut menghadapi pilihan raya akan datang.
“Walaupun kena duduk atas lantai, kami tetap semangat nak dengar ucapan pimpinan,” kata seorang peserta dari Perak.

Konvensyen bertemakan Tekad MADANI, Harapan Rakyat itu berlangsung dalam suasana penuh bersemangat dengan laungan “Reformasi” dan “Pakatan Harapan” beberapa kali bergema di dalam dewan.
BACA JUGA KONVENSYEN PH | Biarkan mahasiswa menjerit : Pemuda PH pertahan suara anak muda