KONVENSYEN PH | AMANAH akan terus perjuang Islam Rahmatan Lil Alamin, tolak politik sempit

Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Parti AMANAH akan terus mempertahankan pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai asas perjuangan parti dalam kerajaan perpaduan.

Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan, beliau berkata pendekatan Islam yang dibawa AMANAH  menolak fahaman sempit yang memecah-belahkan masyarakat atas nama kaum dan agama.

“Kami Parti AMANAH bersama rakan-rakan lain memperjuangkan Islam Rahmatan Lil Alamin,” katanya.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, politik berteraskan kebencian dan permusuhan tidak akan membantu negara berdepan cabaran semasa termasuk isu ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Beliau berkata Malaysia memerlukan pendekatan sederhana yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Dalam masa sama, beliau turut mempertahankan kerjasama AMANAH  bersama DAP dan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.

“DAP sahabat kita,” katanya ringkas disambut tepukan hadirin.

Mat Sabu berkata propaganda politik yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen perkauman dan agama perlu dihentikan kerana ia hanya melemahkan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha membawa pendekatan lebih inklusif dan sederhana dalam pentadbiran negara.

Ucapan beliau mendapat perhatian hadirin apabila ramai melihat AMANAH  terus cuba menampilkan imej Islam progresif dan sederhana di tengah landskap politik yang semakin berpecah.

BACA JUGA KONVENSYEN PH | Suasana penuh sesak, sebahagian peserta terpaksa duduk atas lantai