PH Negeri Sembilan mahu lawan di 36 kerusi jika BN Johor berkeras
Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bersedia untuk bertanding semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Barisan Nasional (BN) Johor berkeras meletakkan calon di semua kerusi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan menegaskan pendirian tersebut ketika berucap di Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru hari ini.
“Saya mahu cadangkan kepada Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kalau Johor nak lawan di 56 kerusi, Negeri Sembilan pun kita lawan 36 kerusi.
“Kalau Johor bubar esok, Negeri Sembilan pun kita bubar esok!” katanya bersemangat sambil meminta persetujuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, Loke memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak dalam PH yang tidak lagi yakin dengan perjuangan gabungan itu supaya segera berundur.
Beliau menegaskan PH kini sudah memasuki gelanggang pilihan raya dan semua anggota parti perlu menunjukkan komitmen serta kesetiaan sepenuhnya.
“Yakinlah dengan perjuangan kita. Mana yang tidak yakin, nak keluar, sila keluar cepat,” katanya disambut sorakan gemuruh hampir 10,000 perwakilan.
Ahli Parlimen Seremban berkenaan turut menempelak mana-mana Ahli Parlimen PH yang enggan mempertahankan manifesto gabungan itu.
“Bukan sahaja tokoh-tokoh pihak lawan, saya juga ingin ingatkan kepada Ahli Parlimen PH sendiri yang tidak angkat manifesto PH, kamu yang patut letak jawatan,” tegasnya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, ketika PH semakin menghampiri medan pilihan raya, setiap wakil rakyat dan pemimpin perlu berdiri teguh di belakang manifesto serta dasar yang dipersetujui bersama.
BACA JUGA ‘Ingat! Kita baik, tetapi kita tidak bodoh!’, penegasan Wanita PH gegar Johor