KONVENSYEN PH | Jangan tunggu pilihan raya baru nak bantu rakyat

Pengerusi Pakatan Harapan(PH) mempertahankan dasar ekonomi Kerajaan MADANI dengan menegaskan pelbagai bantuan dan reformasi yang dilaksanakan kerajaan bukan dilakukan kerana pilihan raya, tetapi sebagai dasar konsisten untuk membantu rakyat.

Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah memulakan pelbagai program bantuan ekonomi sejak tahun 2023 dan bukannya secara bermusim menjelang pilihan raya.

“Kita bukan buat kerana pilihan raya. Kita lakukan sebagai dasar yang konsisten sejak 2023,” katanya.

Anwar berkata antara pencapaian besar kerajaan termasuk kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah selepas lebih sedekad tiada pelarasan besar dilakukan.

“14 tahun gaji penjawat awam tak pernah dinaikkan. Kita naikkan tingkatan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah,” katanya lagi.

Namun beliau menegaskan kenaikan tersebut mesti disertai dengan peningkatan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Jangan izinkan orang terpaksa tunggu berjam-jam untuk dapat perkhidmatan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut membidas pihak yang menurutnya sering memainkan sentimen kaum dan menakut-nakutkan orang Melayu.

Menurut beliau, kerajaan MADANI tidak bersikap defensif dalam memperjuangkan agenda Bumiputera termasuk membantu syarikat SME dan golongan miskin Melayu.

“Kalau kaum lain boleh maju, Melayu juga mesti boleh maju,” katanya.

Beliau berkata bantuan kepada masyarakat India, Sabah, Sarawak dan Kelantan juga diteruskan kerana kerajaan bertanggungjawab membantu semua rakyat tanpa mengira negeri atau kaum.

Anwar turut mempertahankan projek pembangunan Persekutuan di negeri-negeri pembangkang termasuk projek tebatan banjir dan pembangunan infrastruktur di Kelantan.

“Rakyat susah setiap tahun ditimpa banjir. Saya tak sanggup biarkan rakyat,” ujarnya.

BACA JUGA Johor nak tarik peruntukan pertanian atau tidak, tanya Mat Sabu