Anwar menghadap Sultan Ibrahim di tengah desas-desus pilihan raya

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara. 

Pertemuan Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pertemuan menghadap Anwar itu ketika desas-desus pilihan raya umum semakin hangat diperkatakan.

Semalam, Anwar memberi bayangan Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi pilihan raya di seluruh negara sekiranya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan terus diganggu atau ada pihak memilih untuk bertembung secara terbuka.

Dalam ucapan penutup di Konvensyen PH, Anwar menegaskan gabungan itu tidak gentar dengan ancaman politik dan mempunyai pengalaman panjang berdepan tekanan serta pengkhianatan.

“Kalau betul mereka memilih untuk lawan, kita akan bertanding habis-habisan,” katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.