84 tahun masih dilihat ancaman? – Nurul Izzah desak dunia bela Ghannouchi
Pemenjaraan tokoh politik Islam Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi terus menjadi perhatian antarabangsa apabila Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan terhadap pemimpin itu sebagai simbol kemerosotan demokrasi global.
Memetik laporan portal suarakeadilan.com, menurut Nurul Izzah, Ghannouchi bukan sekadar ahli politik biasa tetapi antara figura penting yang membuktikan Islam dan demokrasi boleh bergerak seiring tanpa perlu bercanggah antara satu sama lain.
Beliau berkata usaha diplomatik perlu diteruskan bagi membantu memperjuangkan keadilan untuk pemimpin gerakan Ennahda itu yang kini dipenjarakan di Tunisia.
“Apa yang saya lakukan ialah terus mengingatkan Kementerian Luar bahawa ini merupakan salah satu perjuangan yang perlu kita beri perhatian,” katanya selepas forum “Keadilan Untuk Sheikh Rached Ghannouchi” di IAIS Malaysia, Petaling Jaya.
Nurul Izzah turut mengimbau pengalamannya menghadiri persidangan parti Ennahda di Tunisia dan menyaksikan sendiri bagaimana Ghannouchi membina gerakan politik yang inklusif serta membuka ruang lebih besar kepada wanita dalam politik.
Menurut beliau, walaupun pernah dipenjarakan dan ditekan selama beberapa dekad, Ghannouchi tetap membawa gagasan politik yang menekankan perpaduan masyarakat dan masa depan demokrasi.
Beliau turut menyentuh tindakan Ghannouchi melancarkan mogok lapar ketika dipenjarakan sebagai tanda solidariti terhadap tahanan lain.
“Bayangkan seorang tokoh berusia 84 tahun, dalam keadaan kesihatan rapuh, memilih untuk berlapar demi solidariti terhadap tahanan lain,” katanya.
Nurul Izzah dalam masa sama mengkritik apa yang disifatkannya sebagai sikap hipokrit Barat yang sering bercakap soal demokrasi tetapi masih membiarkan penindasan dan kolonialisme berlaku.
Katanya, umat Islam juga perlu menghentikan perpecahan dalaman dan membina solidariti lebih kukuh bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Ghannouchi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh mahkamah Tunisia atas tuduhan berkomplot menentang keselamatan negara.
Kumpulan hak asasi antarabangsa bagaimanapun menyifatkan tindakan terhadap beliau sebagai sebahagian daripada tekanan politik sejak Presiden Kais Saied menggantung Parlimen Tunisia pada 2021.
Ghannouchi menjadi antara tokoh paling berpengaruh selepas Arab Spring 2011 apabila parti Ennahda memenangi pilihan raya demokratik pertama Tunisia.
BACA JUGA Apa perkembangan kes Nik Zawawi? Ini respon polis Kelantan