PH tak boleh terus berkompromi dengan pengkhianatan

Wanita PKR menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan mandat rakyat dan kestabilan Kerajaan Perpaduan daripada sebarang cubaan menggugat kerjasama politik sedia ada.

Ketua Penerangan Wanita PKR  Pusat, Datuk Ginie Lim berkata Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru semalam membuktikan PH kekal sebagai gabungan politik yang stabil dan matang walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.

Menurut beliau, sejak 2023 kerajaan pimpinan PH dalam Jemaah Menteri telah menunjukkan pencapaian jelas terutama dalam aspek kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Wanita PKR  menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan untuk melawan mana-mana pihak yang gagal menghormati semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kerajaan hari ini juga berjaya membawa pelbagai manfaat langsung kepada negeri-negeri hasil kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Dalam masa sama, Ginie berkata Wanita PKR tetap terbuka kepada rundingan politik dengan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mengutamakan kestabilan negara dan agenda rakyat.

Katanya, kestabilan politik yang dibina ketika ini perlu dipertahankan bagi memastikan agenda pemulihan negara dapat diteruskan tanpa gangguan percaturan politik sempit.

BACA JUGA Apa perkembangan kes Nik Zawawi? Ini respon polis Kelantan