“Tanam apa kita makan” – Mat Sabu mahu rakyat hidupkan semangat Buku Hijau
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia menghidupkan semula budaya menanam sendiri bahan makanan sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
Menurut beliau, semangat “tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam” masih relevan sehingga hari ini terutama dalam membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dan memperkukuh bekalan makanan domestik.
Berucap pada Program Kempen “Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam” anjuran MARDICORP di MAEPS Serdang, Mohamad berkata pendekatan itu pernah digerakkan secara besar-besaran menerusi gagasan Buku Hijau ketika era Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Budaya menanam ini sebenarnya bukan perkara baharu.
“Zaman Tun Abdul Razak lagi rakyat digalakkan menanam sendiri bahan makanan melalui gagasan Buku Hijau demi membantu bekalan makanan negara dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata walaupun tanaman di rumah dilakukan secara kecil-kecilan, ia tetap mampu membantu menjimatkan perbelanjaan dapur selain mewujudkan gaya hidup lebih sihat.
Menurutnya, pertanian komuniti dan urban farming juga berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada keluarga.
Mohamad berkata kerajaan MADANI melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus membantu rakyat menerusi latihan, teknologi dan pembangunan pertanian komuniti.
Beliau turut mengaitkan usaha tersebut dengan persiapan menuju MAHA 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos hingga September tahun depan di MAEPS Serdang.
“Bila rakyat mula menanam, kita bukan sahaja menambah bekalan makanan negara tetapi juga membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
BACA JUGA Ekonomi Malaysia masih laju, disokong ledakan AI dan semikonduktor