Ini sebabnya rakyat tak perlu lagi ke hospital besar untuk saringan paru-paru

Kerajaan akan memperluaskan model rawatan kesihatan paru-paru bersepadu ke 902 klinik kesihatan di seluruh negara menjelang tahun 2026 bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan saringan, pencegahan dan rawatan di bawah satu bumbung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan baharu itu diperkenalkan susulan keperluan mendesak untuk merombak sistem penjagaan paru-paru sedia ada.

Jelasnya, hal ini memandangkan penyakit seperti batuk kering (TB), komplikasi akibat vape dan kanser paru-paru saling berkait rapat dan tidak lagi sesuai dirawat secara berasingan.

Menurutnya, sebanyak 95 peratus kes kanser paru-paru di Malaysia masih dikesan terlalu lewat iaitu pada tahap tiga dan empat, sekali gus menunjukkan bahawa sistem rawatan yang beroperasi secara berasingan atau silo perlu diubah segera.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara tambahan Lung Health Forum sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di Geneva hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, melalui pendekatan ‘Satu Hentian’, rakyat tidak lagi perlu berulang-alik ke hospital besar semata-mata untuk menjalani saringan.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat boleh mendapatkan rawatan asma, saringan kanser paru-paru, imunisasi pernafasan serta khidmat berhenti merokok di klinik kesihatan berhampiran komuniti masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut melaksanakan inisiatif LungShield bersama rakan strategik awam dan swasta untuk membawa teknologi X-Ray pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) ke kawasan pedalaman.

Tambah beliau, inisiatif itu turut menyediakan skim insurans mikro bagi melindungi petugas barisan hadapan yang berisiko tinggi, termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BACA JUGA Prestasi ekonomi lebih tinggi dari jangkaan walau dunia terus bergolak – Anwar