Anak bekas MB Perlis lepas, bebas dakwaan buat tuntutan palsu minuman Raja Perlis

Anak kepada bekas Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berhubung penyediaan minuman untuk Raja Perlis dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membebaskan Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 37, setelah mendapati pendakwaan gagal mewujudkan prima facie kes selepas meneliti keterangan saksi-saksi.

“Oleh yang demikian tertuduh dilepaskan, dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri, wang jaminan (RM20,000) dikembalikan,” kata hakim memetik laporan Bernama.

Pada 23 Mei 2024, Syafeeq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan dokumen pesanan bekalan perkhidmatan kerajaan Perlis berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Feb 2024 yang mengandungi butir matan palsu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Pihak pendakwaan akan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kangar dalam tempoh 14 hari untuk semakan keputusan Mahkamah Sesyen itu.