GSF 2.0: Kementerian Luar desak Israel bebaskan segera 25 rakyat Malaysia yang ditahan

Kementerian Luar Negeri mendesak rejim Zionis Israel segera membebaskan 25 warga Malaysia yang kini ditahan di perairan antarabangsa, selepas kapal mereka dipintas ketika dalam perjalanan menjalankan misi kemanusiaan secara aman menuju ke Gaza.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penahanan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 itu jelas melanggar prinsip hak asasi manusia dan peruntukan undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, kapal-kapal yang dipintas tidak mencerobohi perairan Israel dan berada jauh di luar pantai Cyprus.

“Kita mendesak pihak rejim Zionis Israel memberi layanan yang sempurna kepada mereka serta membebaskan mereka segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

“Mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain turut ditahan oleh rejim Zionis Israel,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye serta Menteri Luar negara itu, Hakan Fidan, atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang ditahan sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza, telah diculik rejim Zionis Israel.