Akmal dedah industri Malaysia mula terasa bahang krisis

Akmal Nasrullah Ahmad Nasir mendedahkan lima subsektor pembuatan dikenal pasti paling terkesan akibat krisis tenaga dan gangguan bekalan global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini.

Menurut beliau, subsektor terbabit melibatkan automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrik dan elektronik.

Katanya yang juga Menteri Ekonomi, dapatan itu diperoleh menerusi tinjauan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 ahli merangkumi 29 subsektor pembuatan.

“Isu utama yang dibangkitkan meliputi bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan di Facebook kementerian hari ini.

Menurut Akmal, tekanan yang dihadapi industri bukan sekadar memberi kesan kepada kos pengeluaran tetapi turut menjejaskan operasi syarikat, penghantaran eksport dan momentum pertumbuhan sektor pembuatan negara.

Beliau berkata sektor pembuatan merupakan antara pemacu utama ekonomi Malaysia khususnya dari segi eksport, peluang pekerjaan dan pelaburan.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling terdedah kerana mempunyai ruang kewangan lebih terhad untuk menyerap peningkatan kos yang berpanjangan.

“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani secara berkesan, ia boleh menjejaskan output negara, prestasi eksport, pelaburan masa depan dan pendapatan isi rumah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Akmal berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan pembiayaan bersasar bagi membantu PKS mengekalkan operasi dan mengurus tekanan kos semasa.

Antaranya termasuk SME Stabilisation Relief Facility bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu modal kerja syarikat yang terkesan.

Kerajaan turut menyediakan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad kepada PKS merentas pelbagai sektor termasuk pembuatan.

Akmal berkata kerajaan juga menghargai usaha syarikat yang terus mengekalkan pekerja walaupun berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global.

BACA JUGA GSF 2.0: Kementerian Luar desak Israel bebaskan segera 25 rakyat Malaysia yang ditahan