RM1.8 juta disalur perkasa bekas ATM jadi usahawan
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sudah membantu 351 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara memperkukuh perniagaan mereka menerusi pelbagai geran dan dana khas keusahawanan.
Bantuan itu disalurkan melalui Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) serta dana iTEKAD dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.8 juta.
Adly Zahari berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.6 juta melibatkan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), manakala RM255,000 lagi disalurkan menerusi dana iTEKAD.
“Seramai 313 usahawan veteran ATM menikmati manfaat geran SPKLB, manakala dana iTEKAD disalurkan kepada 38 usahawan,” katanya selepas merasmikan Program Master Class Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM.
Menurut beliau, suntikan bantuan itu membantu meningkatkan produktiviti serta memperluaskan pasaran produk keluaran veteran tentera.
Adly berkata kerajaan MADANI mahu bakal pesara dan veteran ATM dibentuk sebagai tenaga kerja berkualiti serta penggerak ekonomi negara sejajar kerangka Ekonomi MADANI dan Dasar Industri Pertahanan Negara.
“Pendedahan dan latihan diberikan mesti relevan, berdaya saing dan boleh dimanfaatkan dalam pasaran luar,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata program rintis Master Class yang dijalankan bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) memberi latihan intensif selama tiga bulan merangkumi aspek pengurusan, kewangan dan pembangunan perniagaan.
Menurut Adly, laporan keberhasilan Pelan Transformasi PERHEBAT bagi suku pertama tahun ini turut merekodkan 718 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.
Katanya, seramai 449 veteran ATM kini memperoleh pendapatan dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, automotif dan logistik dengan pendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM5,000.
“Inisiatif PUVET ATM perlu terus diperkukuh supaya impaknya benar-benar dapat membangunkan veteran berdaya saing dalam bidang keusahawanan,” katanya.
BACA JUGA Jangan heret titah Sultan ke gelanggang politik – AMANAH Selangor