Kuasa untuk menyatakan tidak

Di dalam bidang pengurusan perniagaan, satu ciri yang menjadikan sesuatu perniagaan itu lain daripada yang lain dan unik adalah kebolehan atau kuasa untuk menyatakan tidak kepada tawaran yang dibuat oleh pelanggan.

Ini biasanya berlaku dalam keadaan syarikat tersebut mahu mengekalkan kepakaran dan menjaga imej mereka.

Di peringkat individu, kuasa mengatakan tidak membuka ruang untuk lebih banyak pilihan berdasarkan situasi yang dijangka berlaku ekoran daripada keputusan yang diambil.

Baru-baru ini perkara yang hampir sama berlaku dalam konteks politik. Penulis merujuk kepada pendirian yang diambil oleh beberapa parti politik berkaitan permohonan pengampunan mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Parti AMANAH memulakannya dengan Khalid Samad mengatakan tidak kepada permohonan pengampunan yang disokong oleh Majlis Tertinggi Umno. Umno tangkas menyerang dengan kenyataan dan tuduhan.

Di antara panglima Umno yang menyerang dengan kata-kata tajam adalah ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Puad Zarkashi yang juga adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor. Kepimpinan AMANAH dan Khalid telah pun meminta maaf.

Perkara sama berlaku apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan pendirian menentang permohonan pengampunan tersebut. Walau bagaimanapun tiada maaf diketengahkan oleh presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Masalah berkaitan permohonan pengampunan tersebut telah pun dibincangkan sebelum ini.

Yang menariknya ialah apabila Bendahari DAP Selangor Ong Kian Ming menyatakan pendirian yang sama dalam isu ini, Umno yang sebelum ini mengaum tidak jadi mengaum.

Reaksinya mirip kepada membisu.

Mengapa begitu?

Hakikatnya DAP yang menganggotai Pakatan Harapan bukan calang – calang parti.

Dengan 40 ahli parlimen dan 91 Adun di seluruh negara, bilangan ini jauh melebihi jumlah kerusi yang dimiliki BN. Apatah lagi Umno.

Mungkin juga tindakan menikus Umno akan berulang sekiranya PKR menyatakan pendirian sama seperti yang diutarakan oleh Khalid dan Ong.

Nampak gayanya Umno dalam keadaan buku bertemu ruas apabila parti dengan perwakilan bersuara.

Satu lagi kerenah Umno

Dalam pada itu, Pemuda Umno pula mendesak agar parti mereka diberikan 22 kerusi DUN untuk bertanding di dalam pilihan raya negeri Selangor.

Adakah Pemuda Umno tidak berpijak di bumi nyata di dalam membuat tuntutan di negeri yang telah menyatakan tidak kepada Umno sejak 2008?

BN di peringkat Selangor belum pun memulakan kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan.

Untuk rekod, DUN Selangor terdiri dari 56 kerusi. Dari jumlah ini, Umno hanya memegang lima kerusi sahaja. Lima bukan 50.

Selain Umno, berikut adalah kerusi yang dipegang parti lain:

Bersatu 4
Pejuang 3 (satu dikosongkan kerana ketidakhadiran)
Warisan 1
PBM 1
PAS 1

Jawatan ketua pembangkang di Selangor masih dipegang oleh Umno. Ketua pembangkang di Selangor masih Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail

Dalam keadaan ini, bagaimanakah anak watan Selangor yang telah pun menidakkan Umno di Selangor menerima desakan Pemuda Umno agar 22 kerusi diberikan kepada parti tersebut?

Jelas sekali, Pemuda Umno bertindak sebagaimana peribahasa Melayu, diberi betis hendak paha.

Sekiranya berhujah bahawa kerusi DUN perlu diagihkan kepada Umno berdasarkan faktor lebih ramai pengundi Melayu berbanding pengundi lain, maka sudah terang lagi bersuluh Umno membawa agenda perkauman.

Parti komponen Pakatan Harapan pula tidak begitu. Inilah yang sepatutnya berlaku. Wakil rakyat dari parti-parti politik mewakili segenap lapisan masyarakat, bukannya kaum tertentu sahaja.

Jangan kita lupa, AMANAH dan PKR turut mewakili kepentingan masyarakat Melayu. DAP sendiri mempunyai wakil rakyat Melayu.

Tuntutan untuk bertanding di sejumlah kerusi tertentu hanya wajar dibuat setelah mengukur baju di badan sendiri.

Justeru adalah wajar sekali untuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari merangkap Naib Presiden PKR menggunakan kuasa untuk menyatakan tidak kepada Umno.