Sultan Selangor tegur politik tak habis bergaduh? : Titah Aidiladha seru Melayu Islam bersatu
Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya terus memperkukuh perpaduan serta menghentikan pertelingkahan politik yang boleh melemahkan kedudukan bangsa dan negara.
Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2026/1447H, baginda bertitah perpecahan berterusan dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat hanya akan membawa kerugian kepada umat Islam sendiri.
“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap suasana politik semasa yang menurutnya dipenuhi terlalu banyak perselisihan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Menurut baginda, sejarah lampau telah membuktikan bahawa perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.
Bagaimanapun, Sultan Selangor menegaskan bahawa seruan perpaduan Melayu Islam tidak harus disalah tafsir sebagai usaha bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, titah baginda, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.
Dalam masa sama, baginda turut menyeru seluruh rakyat berbilang kaum dan agama supaya terus menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi mengekalkan keharmonian negara.
Baginda turut mengambil contoh kegemilangan era Ottoman Empire yang menurutnya berjaya membina masyarakat pelbagai bangsa hidup aman di bawah pemerintahan Islam.
Selain itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan kesejahteraan jemaah haji Malaysia agar dipermudahkan urusan ibadah serta memperoleh haji yang mabrur.
BACA JUGA Polis terima 59 laporan, Tony Pua akan dipanggil untuk dirakam keterangan