Kamil ‘sekolahkan’ SUA Muda isu dana asing

Pertikaian mengenai dana asing kini meletakkan dua bekas pimpinan muda PKR dalam perang terbuka apabila Ketua AMK, Kamil Munim membalas tuduhan Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafiee yang melabelkannya sebagai hipokrit.

Dalam kenyataan terbaharu hari ini, Kamil menegaskan beliau tidak pernah menolak mana-mana dana luar bagi tujuan pendidikan demokrasi atau pembangunan kepimpinan, malah mengakui dirinya sendiri pernah terlibat dalam program yang dibiayai organisasi antarabangsa.

“Saya dan saudari Ainie merupakan alumnus Sekolah Politik anjuran Institut Kajian Dasar yang menjalankan latihan pendidikan politik dan demokrasi melalui dana daripada Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) dari Jerman,” katanya.

Kenyataan itu hadir susulan serangan Ainie sebelum ini yang mendakwa Kamil bersikap hipokrit apabila membangkitkan isu pembiayaan asing melibatkan NGO Mandiri sedangkan PKR sendiri pernah menerima manfaat daripada latihan dan dukungan organisasi antarabangsa ketika era Reformasi.

Ainie turut mempersoalkan sama ada Kamil “naif” ketika menyertai program berkenaan atau kini “memilih untuk lupa diri apabila sudah berada di tampuk kuasa”.

Bagaimanapun, Kamil menegaskan isu sebenar yang dibangkitkannya bukan soal kewujudan dana asing semata-mata, tetapi dakwaan salah guna dana bagi aktiviti yang didakwa mengancam kedaulatan negara.

“Isu yang saya bangkitkan ialah dakwaan penyelewengan dana asing bagi tujuan aktiviti yang didakwa mengancam isu kedaulatan negara.

“Seleweng ni maksudnya salah guna,” katanya.

Dalam nada keras, beliau turut menyelar Ainie kerana didakwa sengaja memutar belit kenyataannya.

“Sama ada saudari malas membaca dan sengaja untuk tidak faham dan putar belit kenyataan, atau memang ada masalah untuk comprehend, atau saudari sendiri sebenarnya memang sudah terkena sindrom benak ubi,” katanya.

Kamil turut menegaskan PKR tidak pernah menafikan peranan NGO dalam meningkatkan kesedaran demokrasi dan memperkukuh agenda reformasi negara.

Sebelum ini, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat NGO Mandiri berhubung dakwaan menerima pembiayaan asing untuk menggugat politik Malaysia, namun NGO itu menafikan sebarang salah laku dan telah menghantar surat tuntutan peguam terhadapnya.

Kontroversi itu turut menarik perhatian beberapa pimpinan PKR lain yang mengingatkan bahawa parti tersebut sendiri pernah berdepan dakwaan menerima pembiayaan daripada organisasi antarabangsa seperti Open Society Institute dan National Democratic Institute ketika era awal Reformasi.

BACA JUGA Perjuangan reformasi tak akan terhenti kerana tindakan keluar parti mana-mana pihak – AMK