Kapal latihan baharu bakal ubah masa depan TVET perikanan negara
Kerajaan memperkukuhkan agenda TVET pertanian dan keterjaminan makanan negara menerusi pelancaran kapal latihan baharu Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) bernilai RM9.288 juta.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata aset strategik sepanjang 26 meter itu bakal menjadi platform utama latihan praktikal bagi melahirkan tenaga kerja perikanan tempatan yang lebih mahir, kompeten dan memenuhi keperluan industri moden.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata pelancaran kapal latihan itu selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan transformasi sektor agromakanan berteknologi tinggi.
“Sektor perikanan tangkapan kekal menjadi antara penyumbang utama bekalan ikan negara dengan pengeluaran melebihi 1.2 juta tan metrik setahun.
“Justeru, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi amat penting bagi memastikan sektor ini terus mampan, berdaya tahan dan mampu menyokong keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kapal latihan yang dibina oleh MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd itu dibiayai menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Menurut KPKM, aset berkenaan mampu menampung 25 pelatih pada satu-satu masa dengan pendekatan latihan 30 peratus teori dan 70 peratus praktikal.
Pelatih akan didedahkan secara langsung kepada operasi sebenar sektor perikanan termasuk pengendalian vesel, navigasi asas, operasi pukat jerut, penggunaan teknologi moden serta aspek keselamatan di laut.
Kementerian itu berkata pendekatan latihan berasaskan pengalaman sebenar diyakini dapat meningkatkan kompetensi dan keyakinan pelatih sebelum memasuki industri sebenar.
Malaysia ketika ini merekodkan kadar pengambilan ikan per kapita sekitar 44.7 kilogram seorang setahun, antara tertinggi di Asia, sekali gus menjadikan sektor perikanan sebagai komponen penting dalam agenda keterjaminan makanan negara.
BACA JUGASultan Selangor tegur politik tak habis bergaduh? : Titah Aidiladha seru Melayu Islam bersatu