Premis haram diserbu, 5,000 kg minyak masak dan jerry can dirampas

FOTO BERITA: Klang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya membongkar satu kegiatan dipercayai menyeleweng minyak masak paket bersubsidi negara dalam satu serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama dan nombor di sini hari ini. (Gambar: UKK KPDN Selangor)

Serbuan tersebut dilakukan hasil risikan selama hampir dua minggu oleh anggota penguat kuasa KPDN Selangor selepas premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti memotong paket minyak masak bersubsidi jenis satu kilogram sebelum dipindahkan ke dalam bekas jenis ‘jerry can’ untuk dijual semula dalam pembungkusan botol atau kegunaan industri.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai dokumen atau lesen sah yang membenarkan penyimpanan serta urus niaga barang kawalan berjadual termasuk minyak masak.

“Premis ini dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak paket bersubsidi yang disyaki dipindahkan ke dalam bekas lain bagi tujuan jualan semula pada harga lebih tinggi atau untuk kegunaan industri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam operasi tersebut, seramai lima lelaki warga tempatan dan seorang wanita tempatan berusia bawah 40 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Antara barangan yang disita termasuk kira-kira 5,000 kilogram minyak masak, lebih 500 unit ‘jerry can’, sebuah tangki IBC yang mengandungi cecair disyaki minyak masak serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong paket termasuk satu gunting dan dua corong.

Nilai keseluruhan sitaan bagaimanapun masih dalam proses penilaian pihak berkuasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974

KPDN Selangor menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak diseleweng serta sampai kepada golongan sasaran.