PTPK rekod kutipan RM58.86 juta melalui kempen Cabutan Bertuah Mega 2025

FOTO BERITA: Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Mega PTPK Tahun 2025 disempurnakan oleh YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan Timbalan Menteri Sumber Manusia di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. 21hb Mei 2026 (Khamis)

Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) terus memperkukuh budaya pembayaran balik pinjaman latihan kemahiran menerusi penganjuran Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Mega Tahun 2025 serta pelancaran promosi insentif Cabutan Bertuah Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPK, Mohd Fathullah Mustafa, Dr. Kamarulzaman Mat Ali Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Datuk Rospiagos Taha Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia KASUMA, Datuk Lahirul Latigu Ahli Lembaga Pengarah bersama ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam sidang media, beliau berkata peningkatan kutipan bayaran balik pinjaman PTPK yang dicatatkan saban tahun bukan berpunca daripada tindakan keras terhadap peminjam, sebaliknya hasil pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan insentif yang diperkenalkan kepada mereka yang membuat pembayaran tepat pada masanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan Kempen Promosi Cabutan Bertuah Mega Tahun 2025, PTPK merekodkan sambutan amat menggalakkan apabila sebanyak 14,981 transaksi melibatkan 12,331 akaun peminjam berjaya direkodkan sekali gus menyumbang kepada kutipan bayaran balik berjumlah RM58.86 juta.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan dana pinjaman kekal mencukupi untuk membantu lebih ramai pelajar mengikuti pengajian dalam institusi latihan kemahiran dan TVET di negara ini. “Kita mahu melihat perkara yang boleh menyumbang kembali kepada industri terutama industri TVET supaya para pelajar boleh mendapat pinjaman. Kalau dana itu tidak mencukupi, ia mampu membantutkan pembangunan pelajar TVET itu sendiri,” katanya. Beliau turut memuji usaha pihak pengurusan PTPK yang diterajui Ketua Eksekutifnya, Fatullah Abdullah, dalam memperkukuh kesedaran peminjam terhadap tanggungjawab pembayaran balik pinjaman.

Pada majlis sama, Khairul Firdaus turut mengumumkan hadiah utama Cabutan Bertuah Mega PTPK bagi tahun 2026 akan dinaik taraf kepada sebuah kereta elektrik Proton e.MAS. Katanya, pemilihan kenderaan elektrik keluaran tempatan itu bukan sahaja bertujuan memberi galakan kepada peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten, malah sebagai usaha mempromosikan teknologi hijau dalam industri automotif negara.

“Pertama, ia adalah kereta yang dibangunkan di negara kita sendiri. Kedua, untuk memberi kesedaran dan pendidikan bagaimana kita boleh mempromosikan teknologi hijau dalam industri automobil,” katanya. Tambah beliau, inisiatif cabutan bertuah itu bukan sekadar memastikan pembayaran balik dilakukan tepat pada waktunya, tetapi juga bagi menjamin dana PTPK terus mencukupi demi membantu generasi pelajar yang memerlukan kemudahan pinjaman latihan kemahiran pada masa hadapan.

Penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik PTPK bagi meningkatkan kesedaran dan komitmen peminjam untuk melaksanakan bayaran balik pinjaman secara konsisten demi memastikan kelestarian Dana Latihan TVET negara dapat terus dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Sepanjang tempoh pelaksanaan Kempen Promosi Cabutan Bertuah Mega Tahun 2025, PTPK merekodkan sambutan amat menggalakkan apabila sebanyak 14,981 transaksi melibatkan 12,331 akaun peminjam berjaya direkodkan sekali gus menyumbang kepada kutipan bayaran balik berjumlah RM58.86 juta.

Pencapaian itu dilihat membuktikan keberkesanan pelbagai pendekatan proaktif yang dilaksanakan PTPK termasuk kempen kesedaran bayaran balik, program turun padang, kaunter bergerak di lokasi tumpuan awam serta penyediaan kemudahan pembayaran digital yang lebih mudah dan mesra pelanggan. Sebagai penghargaan kepada peminjam yang komited membuat bayaran balik tepat pada waktunya, PTPK menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM212,000 bagi Cabutan Bertuah Mega Tahun 2025.

Hadiah utama berupa sebuah kereta elektrik BYD Atto 3 bernilai RM110,000 dimenangi oleh Mohd Alwe Daut Tawau Sabah, manakala hadiah kedua menawarkan dua unit motosikal Yamaha XMAX bernilai RM30,000 setiap satu. Selain itu, lima pemenang turut membawa pulang iPad Pro M4 11 inci bernilai RM5,000 setiap satu serta hadiah saguhati berupa barangan elektrik dan elektronik kepada 17 pemenang.

Menurut beliau, pemilihan kenderaan elektrik keluaran tempatan itu bukan sahaja sebagai galakan kepada peminjam yang konsisten membuat pembayaran balik, malah bagi mempromosikan teknologi hijau dan menyokong industri automotif negara. PTPK turut menyasarkan kutipan bayaran balik sebanyak RM425 juta pada tahun 2026 menerusi pelaksanaan strategi promosi yang lebih agresif serta pendekatan perkhidmatan pelanggan yang lebih efektif dan inklusif.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, PTPK kekal komited memperkasa pembangunan modal insan negara melalui pembiayaan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing mengikut keperluan industri masa hadapan.

Majlis tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara PTPK, pelanggan, penyedia latihan, pihak industri dan rakan strategik dalam usaha memperkasa ekosistem TVET negara secara holistik dan mampan.