Kemunafikan politik Pas terserlah, ukuran ‘derhaka’ berubah ikut warna parti
Pas bersikap tidak konsisten dan penuh kemunafikan politik dalam isu melibatkan institusi Raja Melayu apabila hanya lantang menuduh pihak tertentu derhaka mengikut kepentingan politik semasa.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas dilihat pantas memainkan sentimen rakyat dan menyerang musuh politik apabila timbul kenyataan berkaitan institusi Raja.
Walaupun begitu, katanya, Pas memilih untuk berdiam diri apabila kenyataan hampir sama datang daripada presiden parti itu sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Apabila melibatkan musuh politik mereka, Pas segera menuduh derhaka, mengapi-apikan emosi rakyat dan cuba menampilkan diri sebagai kononnya pembela institusi Raja Melayu.
“Tetapi apabila kenyataan yang sama datang daripada Presiden mereka sendiri Tan Seri Abdul Hadi Awang, Pas terus membisu,” tegasnya dalam kenyataaan hari ini.
Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat masih mengingati kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menyebut titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang kepada perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
“Kenyataan itu jelas membawa maksud bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa Raja tertakluk kepada Perlembagaan dan proses demokrasi.
“Hari ini Pas cuba menyerang pihak lain atas isu yang sama maknanya.
“Mengapa Pas tidak mengecam Tan Seri Hadi Awang? Mengapa tiada himpunan bantahan di depan Istana Negara ketika Presiden Pas mengeluarkan kenyataan tersebut?
“Mengapa ukuran ‘derhaka’ Pas berubah ikut warna parti?” tempelaknya.
Pendirian berubah
Menurut Mahfuz, Pas kini berdepan masalah prinsip apabila pendirian Pas berubah-ubah mengikut siapa yang mengeluarkan kenyataan.
“Bila lawan bercakap, mereka menjerit derhaka. Bila pemimpin sendiri bercakap, mereka mula bercakap soal konteks, tafsiran dan demokrasi,” katanya.
Dalam masa sama, Mahfuz menegaskan beliau tidak mempertahankan mana-mana individu termasuk bekas wakil rakyat dari DAP, Tony Pua mahupun kenyataan Abdul Hadi, sebaliknya isu sebenar adalah soal konsistensi dan kejujuran politik.
Beliau berkata, institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan alat politik bermusim untuk meniup sentimen kebencian dan kemarahan rakyat demi meraih sokongan politik.
“Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Institusi Raja mesti dihormati dan Perlembagaan juga mesti dijunjung,” katanya.
Dalam masa sama, Mahfuz turut mengingatkan Pas agar tidak menggunakan istana sebagai pentas politik semata-mata untuk meraih sokongan emosi orang Melayu.
“Rakyat hari ini semakin cerdik menilai. Mereka dapat melihat siapa yang benar-benar mempertahankan institusi negara secara ikhlas, dan siapa pula yang hanya menggunakan isu Raja apabila ia menguntungkan politik mereka,” tambah Mahfuz lagi.
BACA JUGA 29 rakyat Malaysia selamat tiba di Istanbul, enam cedera selepas ditahan Israel