Kesian penjual ‘nasi bajet’ meraung bila hasil jualan disamun
Seorang wanita penjual ‘nasi bajet’ meraung kesedihan selepas wang hasil jualannya disamun dua lelaki bermotosikal yang berpura-pura menjadi pelanggan dalam kejadian menyayat hati yang kemudian tular di media sosial.
Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau amat hiba selepas menonton rakaman kejadian melibatkan mangsa yang sedang sibuk menyiapkan pesanan pelanggan sebelum salah seorang suspek bertindak pantas menyambar bekas wang jualan.
Ahli Parlimen Sepang berkenaan berkata, suspek lelaki itu kemudian melarikan diri bersama rakannya yang telah menunggu di atas motosikal.
“Tidak tergamak saya melihat rakaman kejadian yang menimpa seorang wanita penjual nasi lemak di Ipoh apabila bekas wang hasil jualannya disambar dua lelaki bermotosikal yang berpura-pura menjadi pelanggan.
“Perbuatan sebegini bukan sahaja keji dan tidak berperikemanusiaan, malah sangat menyedihkan kerana mangsa hanyalah seorang anak muda yang mencari rezeki secara halal dan bekerja keras membantu keluarga,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah meminta Ketua Wanita AMANAH Perak mendapatkan maklumat lanjut berhubung mangsa.
Athirah turut memaklumkan beliau sendiri telah menghubungi ibu mangsa, Puan Masjida Yanti Nasution Abdullah Omar, 51, yang ketika itu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama anaknya, Nur Athirah Nazirah, 21, bagi membuat laporan polis.
Ujarnya, beliau telah bertanya jumlah kerugian yang dialami dan berjanji akan menggantikan sepenuhnya wang hasil jualan yang dicuri.
“Insya-Allah saya akan menggantikan sepenuhnya jumlah tersebut. Urusan bantuan ini akan diselaraskan oleh Angkatan Wanita AMANAH Negeri Perak.
“Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan memberi semangat untuk terus kuat meneruskan kehidupan,” kata Athirah.

Terdahulu, tular aksi keji seorang remaja berbaju merah (gambar atas) melarikan bekas dipercayai mengandungi wang hasil jualan milik peniaga gerai terbabit di Meru, Ipoh.
Dalam kejadian yang berlaku sekelip mata itu, lelaki berkenaan malarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal yang sudah bersedia di tepi jalan berkenaan.
Teriakan peniaga itu ketika bersiaran langsung di TikTok itu dilihat mengundang simpati orang ramai selain berharap pencuri terbabit segera ditangkap polis.
Sebagai tanda solidariti, netizen pula dilihat mengajak orang ramai menjejaki suspek dengan mengedarkan gambar wajah individu berkenaan yang dalam keadaan mengenakan topi keledar.
Mengulas lanjut, Athirah yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) berharap pihak berkuasa dapat segera mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terlibat.
“Rakyat yang mencari rezeki secara jujur dan halal wajib dibela serta dilindungi.
“Dalam dunia yang semakin keras ini, jangan sampai kita hilang rasa kemanusiaan.
“Orang kecil yang mencari rezeki halal bukan untuk dizalimi, tetapi untuk dibela dan dipertahankan,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, dua lelaki terbabit yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak itu dilapor sedang diburu polis.
BACA JUGA Agong luang masa ziarah bekas Pengelola Diraja Johor