Bisnes sambil bantu orang, INSKEN labur RM5 juta perkasa perusahaan sosial 

Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) melaburkan sebanyak RM5 juta sejak 2022 bagi memperkukuh ekosistem perusahaan sosial di Malaysia menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti, akses pasaran dan penarafan perusahaan sosial.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata pelaburan tersebut dibuat selepas INSKEN diberikan mandat menerajui pembangunan perusahaan sosial selaras dengan agenda Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi inklusif negara.

Menurut beliau, model perusahaan sosial kini semakin penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, krisis bekalan global dan cabaran sosial yang semakin kompleks.

Katanya, perusahaan sosial bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah masyarakat dan alam sekitar melalui pendekatan perniagaan yang lebih mampan.

“Sebagai contoh, masyarakat yang semakin menua pada masa depan akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan komuniti dan sokongan sosial yang juga boleh diterajui melalui model perusahaan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara inisiatif yang dilaksanakan INSKEN termasuk sesi libat urus industri, klinik penarafan perusahaan sosial, persidangan antarabangsa serta program pengukuhan jaringan dan akses pasaran di dalam serta luar negara.

Sehingga kini, seramai 3,875 peserta telah mendapat manfaat menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh INSKEN.

Dalam tempoh dua suku tahun kebelakangan ini sahaja, INSKEN turut memperuntukkan RM200,000 bagi membantu 20 entiti perusahaan sosial memperluaskan pasaran dan impak kepada komuniti.

Bantuan tersebut melibatkan peluang pembelian produk dan perkhidmatan, subsidi operasi, penyertaan acara serta padanan perniagaan strategik.

Steven Sim turut menggalakkan lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan rasmi melalui INSKEN bagi meningkatkan kredibiliti serta akses kepada pembiayaan, pengecualian cukai dan sokongan kerajaan.

Berdasarkan dokumen SEMy2030 dan kajian British Council, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 20,000 perusahaan sosial setakat 2018.

Setakat ini, sebanyak 600 entiti telah menerima penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN melibatkan kategori Tunas Perusahaan Sosial, Perusahaan Sosial Asas dan Perusahaan Sosial Diakreditasi.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata usaha tersebut mencerminkan peranan INSKEN sebagai penggerak ekosistem dalam merapatkan jurang antara perusahaan sosial dan peluang pasaran sebenar.

Menurut beliau, INSKEN kini sedang bergerak ke arah mengarusperdanakan konsep “perolehan sosial” supaya perusahaan sosial dapat berkembang setanding dengan perniagaan konvensional.

Di media sosial, konsep perusahaan sosial semakin mendapat perhatian generasi muda kerana ramai melihat model tersebut sebagai gabungan antara keuntungan, impak sosial dan kelestarian alam sekitar dalam satu ekosistem perniagaan moden.

BACA JUGA Bukti formula MADANI, Malaysia no.7 paling dipercayai dunia