Pas dah mula naik angin? – Hadi didakwa tak puas hati dengan langkah Bersatu

Pas dilihat mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Bersatu susulan kemelut melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan yang kini semakin meretakkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu didedahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff yang memuat naik inti pati sidang media Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Setiausaha Agung Pas sudah mengutus surat rasmi kepada Bersatu bagi menyatakan pendirian parti yang tidak bersetuju dengan tindakan melibatkan dua ADUN Bersatu di Negeri Sembilan.

“Pas tidak setuju tindakan dua ADUN Bersatu Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Lebih menarik, Pas turut memberi bayangan bahawa parti itu mungkin mengambil tindakan balas di Perlis bergantung kepada langkah susulan yang akan diambil Bersatu selepas ini.

“Susulan tindakan Bersatu di Negeri Sembilan, Pas akan pertimbang ambil tindakan di DUN Perlis,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, Abdul Hadi turut dilaporkan berkata Pas tidak akan menukar Exco dan Timbalan Speaker daripada Bersatu yang dipecat sebelum ini kerana mengambil kira faktor prestasi dan kestabilan pentadbiran negeri.

Namun kenyataan paling mendapat perhatian ialah apabila Pas mengumumkan akan mengkaji semula semua aspek kerjasama dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan spekulasi hubungan kedua-dua parti kini semakin tegang.

“Pas akan kaji semula semua aspek kerjasama Pas-Bersatu,” katanya.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik yang melihat kenyataan tersebut sebagai isyarat paling jelas bahawa Pas mula hilang kesabaran terhadap beberapa keputusan Bersatu kebelakangan ini.

Di media sosial, ramai netizen mula mempersoalkan sama ada keretakan dalam PN kini semakin sukar disembunyikan, terutama apabila Pas secara terbuka menyatakan ketidaksetujuan terhadap tindakan parti sekutunya sendiri.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Bersatu setakat ini, perkembangan terbaru itu dijangka menambah tekanan terhadap hubungan dalaman PN menjelang beberapa siri rundingan politik dan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

BACA JUGA Kesian penjual ‘nasi bajet’ meraung bila hasil jualan disamun