Dulu Umno dikafirkan, kini giliran Bersatu pula? — Faiz Fadzil
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menyifatkan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mula menunjukkan ketegangan dengan Bersatu sebagai sesuatu yang sudah dijangka dalam percaturan politik parti itu.
Menurut beliau, Pas didakwa sedang mencari jalan untuk kembali bekerjasama dengan Umno selepas merasakan Bersatu tidak lagi memberi kelebihan politik kepada mereka.
Katanya, isu melibatkan Adun Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan hanyalah alasan luaran, sedangkan punca sebenar lebih berkait dengan kepentingan politik semasa.
“Pas sedang berusaha untuk berpakat semula dengan Umno bukan kerana isu ketidakpuasan hati terhadap tindakan Adun Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, tetapi kerana merasakan Bersatu tidak lagi diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Faiz turut mendakwa Pas sering menggunakan naratif agama bagi menghalalkan tindakan politik mereka termasuk ketika memutuskan hubungan dengan rakan politik terdahulu.
“Dulu Umno dikafirkan, tetapi kemudian dianggap satu rahmat pula. Selepas ini tunggulah Bersatu pula untuk dikafirkan atau dimunafikkan,” katanya lagi.
Dalam nada sinis, beliau turut mengimbau kisah “kambing” yang pernah diceritakan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor ketika sesi penggulungan Muktamar Pas suatu ketika dahulu.
Menurut Faiz, kisah tersebut mempunyai maksud mendalam mengenai sikap dan budaya politik sesetengah pihak.
“Namun hakikatnya, Pas sekarang yang busuk lebih daripada kambing, tidak boleh dibuat kawan kerana sikap politiknya,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui Pas di bawah kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor jauh berbeza kerana lebih menghormati rakan politik dan konsisten dalam kerjasama politik termasuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Faiz berkata keadaan berubah apabila Pas beberapa kali menukar sekutu politik termasuk DAP, PKR, Umno dan kini dilihat mula berdepan ketegangan dengan Bersatu.
“Ketika berkawan, DAP pun dianggap rahmat. Begitu hipokritnya Pas atas nama agama,” katanya lagi.