MHO bidas gangguan debt collector, tegas tindakan bertentangan undang-undang

FOTO BERITA: Sidang Media oleh MHO mengenai rumah mangsa Ahlomg dibaling api dan mohon siasatan dijalankan di Pejabat MHO Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 22hb Mei 2026 (Jumaat)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan beberapa kes gangguan serta ugutan melibatkan mangsa pinjaman along termasuk insiden rumah dibaling api, sambil menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lebih tegas terhadap kegiatan pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Perkara itu didedahkan dalam satu sidang media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama beberapa wakil pertubuhan termasuk Ketua Perhubungan Awam Masyarakat Cina, Andrew Fu, penasihat undang-undang MHO, Falak serta koordinator kes along, Felix.

Menurut Hishamuddin, antara kes yang diketengahkan melibatkan seorang penjawat awam dari Shah Alam yang didakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman along dalam talian sejak Disember tahun lalu.

Mangsa dikatakan hanya membuat pinjaman asal sebanyak RM3,500 namun akibat sistem “overlap” dan pinjaman berangkai, beliau mendakwa telah membayar lebih RM57,000 tetapi masih dituntut tambahan RM58,000 oleh sindiket terbabit.

MHO mendakwa mangsa turut mengalami gangguan berterusan termasuk ugutan terhadap ahli keluarga dan ibu mentua selain rumah dibaling poster serta pelbagai bentuk intimidasi lain.

Menurut pertubuhan itu, laporan polis telah dibuat pada 10 Februari lalu namun sehingga kini tiada maklum balas diterima walaupun mangsa telah menghantar tiga surat di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah bagi mendapatkan status siasatan.

MHO menjelaskan Seksyen 107A memberi hak kepada pengadu untuk memperoleh maklum balas bertulis daripada pihak penyiasat dalam tempoh 14 hari selepas surat dihantar kepada ketua polis daerah.

Pertubuhan itu menyatakan kekesalan kerana tiada jawapan diberikan walaupun beberapa surat susulan dihantar selain mendakwa terdapat rakaman video yang menunjukkan tindakan gangguan oleh individu dipercayai debt collector.

Dalam sidang media sama, MHO turut menegaskan bahawa tindakan gangguan, ugutan dan intimidasi oleh debt collector adalah menyalahi undang-undang serta bertentangan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Menurut mereka, sebarang proses tuntutan hutang perlu dilakukan melalui saluran mahkamah dan bukannya menggunakan kaedah gangguan atau ancaman terhadap peminjam serta ahli keluarga.

MHO turut mengingatkan orang ramai supaya tidak takut membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa gangguan along atau debt collector dan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan lebih proaktif terhadap kegiatan tersebut.

Pertubuhan itu juga memaklumkan akan membawa aduan kepada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sekiranya tiada tindakan atau siasatan sewajarnya dijalankan terhadap kes-kes yang dilaporkan.