Ahli, pimpinan Pas dilarang ulas isu Hadi-Bersatu tanpa izin parti

Pas mengarahkan semua pimpinan dan ahlinya supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini melibatkan parti itu dan sekutunya tanpa kebenaran khas daripada kepimpinan pusat.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kontroversi tercetus selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, membayangkan partinya akan menilai semula hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam kenyataan ringkas hari ini, Takiyuddin meminta semua pihak dalam Pas supaya bertenang dan menyerahkan urusan tersebut kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Semua pimpinan dan ahli Pas diminta tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkembangan terkini melibatkan pihak-pihak lain dengan Pas dalam mana-mana saluran media atau komunikasi melainkan dengan kebenaran khas parti.

“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Tuan Guru Presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang didakwa menjejaskan semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Bercakap pada sidang media di Marang, Hadi mendakwa beberapa keputusan Bersatu kebelakangan ini tidak menyenangkan Pas, termasuk tindakan memecat beberapa Exco kerajaan negeri Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Menurut Hadi, pemecatan atau pertukaran jawatan dalam sesebuah parti tidak sepatutnya dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh yang boleh menjejaskan prestasi parti.

Beliau turut mempersoalkan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik balik akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, pendirian berkecuali yang diambil ADUN terbabit boleh menjejaskan hubungan dan kepercayaan antara parti-parti dalam PN.

Kenyataan Hadi itu mencetuskan spekulasi mengenai ketegangan terbaru antara PAS dan Bersatu, ketika kedua-dua parti merupakan tonggak utama gabungan PN di peringkat nasional dan beberapa negeri.

BACA JUGA Dulu Umno dikafirkan, kini giliran Bersatu pula? — Faiz Fadzil