Jangan biar kelompok kecil rosakkan negara – Anwar seru rakyat pertahan perpaduan

Politik kebencian dan permainan sentimen perkauman tidak boleh dibiarkan merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat hidup bersama serta saling menghormati antara kaum dan agama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak, Perdana Menteri berkata rakyat sederhana dan cintakan keamanan perlu tampil mempertahankan perpaduan negara daripada kelompok kecil yang gemar meniup kebencian demi kepentingan politik sempit.

Menurut beliau, Malaysia sejak awal pembentukannya diasaskan atas semangat “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diperjuangkan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Katanya, kepelbagaian kaum dan agama bukan perkara baharu, malah menjadi asas penting pembinaan negara sejak mencapai kemerdekaan.

“Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan dan masyarakat Melayu serta bumiputera sebagai majoriti. Namun sejak awal juga, negara ini dibangunkan dengan sikap saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian kaum serta agama,” katanya.

Anwar berkata gagasan Malaysia MADANI turut menekankan nilai ihsan, adab dan kemanusiaan sebagai asas utama dalam membina masyarakat yang lebih harmoni.

Sehubungan itu, beliau menegaskan budaya dialog dan wacana antara agama perlu terus diperkasakan supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian dan fitnah.

“Sebab itu budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya setiap hari mencari isu untuk meniup kebencian, menakut-nakutkan rakyat dan memecahkan masyarakat demi laba politik sempit,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan “tyranny of the minority” atau kelompok kecil yang memainkan sentimen perkauman dan agama menguasai ruang awam sehingga menjejaskan keharmonian negara.

“Sudah sampai ketikanya rakyat yang sederhana dan cintakan keamanan bersuara mempertahankan perpaduan negara,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika media sosial kebelakangan ini dipenuhi pelbagai polemik melibatkan isu kaum, agama dan identiti yang sering dimanipulasi bagi meraih sokongan politik.

Wacana Harmoni MADANI diadakan sempena sambutan Hari Wesak dengan menghimpunkan pelbagai tokoh agama dan masyarakat bagi membincangkan kepentingan persefahaman, toleransi serta keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia.

BACA JUGA Susulan kenyataan Hadi,  ‘perang’ meletus penyokong Pas-Bersatu di media sosial