600 pelajar Shah Alam raih keputusan cemerlang 7A ke atas dalam SPM 2025

FOTO BERITA: Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Shah Alam & DUN Kota Anggerik bersama YB Tuan Haji Azli Yusof dan YB Tuan Mohd Najwan Halimi di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. 23 Mei 2026 (Sabtu)

YB Azli Yusof Ahli Parlimen Shah Alam menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar, ibu bapa dan warga pendidik atas kejayaan cemerlang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Mohd Najwan Halimi, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Hanissa Muhammad Ali, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Puan Fazlun Faizal, serta barisan pemimpin masyarakat dan pentadbir sekolah sekitar Shah Alam.

Dalam ucapannya, Azli berkata majlis tersebut merupakan penganjuran julung kali melibatkan seluruh Parlimen Shah Alam dan disifatkan sebagai simbol penghargaan kepada usaha keras pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Najwan Halimi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Daniel Al-Rashid Haron atas kerjasama menjayakan inisiatif berkenaan.

“Minggu lalu kita telah mengadakan majlis yang sama bagi peringkat Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga melibatkan lima sekolah serta 150 pelajar yang memperoleh tujuh A dan ke atas.

“Pada hari ini pula, bagi peringkat Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik, sebanyak 11 sekolah terlibat dengan 450 pelajar menerima pengiktirafan atas pencapaian tujuh A dan ke atas,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan pelajar cemerlang di kawasan Parlimen Shah Alam yang memperoleh keputusan tujuh A dan ke atas mencecah kira-kira 600 orang berdasarkan data diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

Azli berkata, pada peringkat awal pihaknya agak bimbang untuk menetapkan syarat penerima anugerah pada tahap tujuh A ke atas memandangkan jumlah pelajar cemerlang di Shah Alam dijangka tinggi.

“Ada yang mencadangkan supaya kita buat lima A sahaja, tetapi selepas memperoleh data daripada Pejabat Pendidikan Daerah, ternyata benar bahawa ramai pelajar di Shah Alam mencapai keputusan yang sangat membanggakan,” katanya sambil berseloroh mengenai jumlah penerima yang ramai.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana atas kerjasama menyediakan data dan maklumat pelajar cemerlang bagi menjayakan program tersebut.

Dalam pada itu, Azli menyatakan hasrat supaya Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM dijadikan acara tahunan bagi meraikan kecemerlangan pelajar di kawasan Shah Alam.

“Insya-Allah saya, YB Najwan dan YB Daniel berazam untuk meneruskan majlis ini sebagai acara tahunan buat warga pelajar di Shah Alam,” katanya.

Sementara itu Najwan Halimi menyeru pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Shah Alam supaya terus mengejar kejayaan dalam pendidikan dan kerjaya tanpa melupakan nilai adab, penghargaan kepada ibu bapa serta tanggungjawab kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik bersama Azli Yusof di Shah Alam, semalam.

Najwan berkata, majlis julung kali itu diadakan bagi meraikan serta menghargai pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025 melibatkan lebih 10 sekolah di bawah Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik.

“Saya difahamkan lebih daripada 10 sekolah terlibat dan kita memberikan pengiktirafan kepada pelajar yang memperoleh keputusan tujuh A dan ke atas.

“Secara keseluruhan, lebih 600 pelajar cemerlang dari Parlimen Shah Alam diraikan menerusi program ini termasuk majlis yang diadakan minggu lalu bersama DUN Batu Tiga,” katanya.

Beliau turut menyifatkan program berkenaan sebagai antara inisiatif unik yang pertama kali dianjurkan di peringkat Parlimen bagi meraikan pencapaian pelajar secara menyeluruh.

Menurut Najwan, kejayaan pelajar bukan hanya terletak pada keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu diteruskan dengan perancangan masa depan yang baik termasuk melanjutkan pengajian ke universiti dan membina sahsiah diri.

“SPM bukan penamat perjalanan. Ada yang sudah menerima tawaran matrikulasi, universiti dan biasiswa. Gunakan peluang ini untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Dalam nada santai, beliau turut menasihatkan pelajar supaya memberi fokus kepada pendidikan dan masa depan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal hubungan percintaan.

Najwan turut mengingatkan pelajar agar sentiasa bersikap rendah diri serta tidak memandang rendah terhadap rakan-rakan yang mungkin tidak memperoleh keputusan cemerlang.

“Bukan semua yang keputusan kurang baik itu tidak akan berjaya pada masa depan. Sebab itu kita kena sentiasa tawaduk dan bersyukur,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepentingan adab dan sikap dalam kehidupan serta kerjaya, sambil mengingatkan golongan muda supaya membentuk disiplin dan sikap positif sejak awal.

“Setinggi mana kedudukan kita nanti, jangan lupa asal usul dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru yang mendidik kita,” katanya.

Pada akhir ucapan, Najwan menyatakan keyakinan bahawa pelajar cemerlang Shah Alam hari ini bakal menjadi pemimpin negeri dan negara pada masa hadapan.

“Andalah generasi yang akan memimpin Selangor dan Malaysia suatu hari nanti. Rancang masa depan dengan baik dan terus berusaha menjadi insan terbaik,” katanya.