Syabas wira negara, kejayaan skuad sepak takraw bukti semangat juang tinggi – PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan syabas kepada skuad sepak takraw negara yang berjaya muncul sebagai juara dunia dalam acara regu berpasukan menewaskan musuh tradisi, Thailand, dalam aksi final Piala Dunia Sepak Takraw malam tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan yang tinggi mampu mengangkat Malaysia ke persada dunia.
“Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara.
“Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta!,” katanya.
Malaysia menang regu pertama 15-9, 13-15, 15-12 untuk meraih mata pertama sebelum Thailand mengikat kedudukan dengan kemenangan 6-15, 10-15 pada regu kedua.
Dalam regu penentuan, Malaysia mempamerkan permulaan cemerlang apabila menang set pertama 15-13.
Namun suasana penuh drama bermula ketika Thailand mendahului 14-13 dalam set kedua, dan berlaku keputusan penuh kontroversi yang menyebabkan permainan terhenti hampir 30 minit.
Thailand melancarkan protes untuk tidak meneruskan permainan dan pengadil terpaksa memberikan kemenangan secara percuma untuk regu berpasukan kepada Malaysia.