Bubar DUN langkah terbaik selesai krisis politik Negeri Sembilan – Anthony Loke

Pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah langkah terbaik untuk menamatkan ketidaktentuan politik di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sukar untuk ada lagi kepercayaan dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan selepas tindakan ADUN Umno-BN menarik sokongan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN sekiranya Johor mengambil langkah sama dalam masa terdekat

“Seperti yang saya katakan dalam Konvensyen PH di Johor Bahru minggu lepas, memang Negeri Sembilan juga bersiap sedia mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor.

“Kalau Johor dibubarkan dalam waktu terdekat, mungkin Negeri Sembilan juga akan dibubarkan. Tetapi itu terpulang kepada Menteri Besar. Saya hanya memberi cadangan dan Menteri Besar perlu membuat keputusan selepas merujuk kepimpinan tertinggi PH,” katanya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, walaupun UMNO-BN masih menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, namun perkara itu boleh mengundang risiko.

Kadang-kadang ada sokongan, tetapi bila-bila masa sokongan boleh ditarik balik. Lebih baik PRN diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan dan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sikamat, hari ini.