Nahas pekerja pelantar minyak: Kerajaan pandang serius, PM arah keselamatan diperkukuh

Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kepada tiga pekerja kontraktor yang maut di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius insiden tersebut dan yakin siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut beliau kerajaan juga akan memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan pekerja negara.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” kata Perdana Menteri lagi.

Semalam, tiga pekerja kontraktor Petroliam Nasional Bhd (Petronas) maut manakala seorang lagi cedera parah semasa kerja penyelenggaraan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan.

Kejadian berlaku pada jam 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan.

Namun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.

Tiga yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28 (Kuantan, Pahang); dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38 (Bandar Indera Mahkota, Pahang).

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

BACA JUGA ‘Apa Rafizi boleh buat jadi pembangkang?’, ramai pengundi Cina pilih Tengku Zafrul