Bersatu di ambang perpecahan, lebih 200,000 ahli didakwa tinggalkan parti
Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu sudah dan bakal meninggalkan parti itu untuk menyertai gerakan Reset.
Gerakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat.
Beliau berkata, bukan Hamzah yang menjadi penghasut untuk memecah belahkan Bersatu.
Sebaliknya, penghijrahan itu berlaku secara semula jadi kerana ahli semakin kecewa dengan budaya dalam parti.
“Apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad, memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula, bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan serta memandang ringan isu rasuah, maka secara semula jadi ahli akan mula membenci budaya seperti ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Rahim berkata Bersatu kini tidak lagi mampu bergerak jauh kerana dibelenggu budaya politik negatif dan merosakkan.
Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, budaya memuja pemimpin secara melampau selain menganggap teguran terhadap parti sebagai satu bentuk pengkhianatan turut menjadi faktor utama ahli hilang keyakinan.
“Perjuangan parti untuk rakyat juga dilihat semakin terpesong daripada matlamat asal penubuhannya
Saya berkata demikian kerana selepas hampir 50 tahun berada dalam dunia politik, saya sendiri merasakan BERSATU tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini,” katanya.