Hujan lebat di KL, lima kereta dihempap pokok tumbang

Hujan lebat dan angin kuat di sekitar ibu negara petang tadi menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi, dan menghempap lima buah kenderaan.

Menurut laporan, kejadian pertama berlaku di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE apabila sebatang pokok tumbang menghalang laluan jalan.

Bagaimanapun, tiada kenderaan atau mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, kejadian kedua pula membabitkan Proton Persona dihempap pokok ketika diparkir di bahu jalan di Pangsapuri Seri Malaysia, Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan.

“Sementara itu, di Lot PT 13856, Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, sebatang pokok besar tumbang sehingga dahan menghempap bumbung tempat parkir kenderaan.

“Empat kereta dilaporkan terlibat iaitu Perodua Ativa, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya.

Menurut kenyataan JBPM, pihaknya telah menggerakkan anggota ke tiga lokasi terjejas selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 berhubung kejadian itu pada jam 2.50 petang.