BDR jimat RM4.2 juta petrol – KSN
Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam berjaya menjimatkan subsidi petrol RON95 sebanyak RM4.22 juta sejak dilaksanakan pada 15 April lalu, kata Ketua Setiausaha Negara(KSN).
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjimatan itu melibatkan pengurangan penggunaan petrol sebanyak 2.14 juta liter hasil pelaksanaan dasar berkenaan.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menghadapi tekanan kewangan susulan krisis tenaga dan bekalan bahan api global yang dijangka mula dirasai negara bermula Ogos ini.
“Penggunaan petrol, kerajaan telah meluluskan apa yang dipanggil BDR, bukan baring, duduk dan rehat.
“BDR, bekerja dari rumah bermula pada 15 April dan sehingga hari ini penjawat awam yang menjalani BDR telah menjimatkan 2.14 juta liter dengan nilai subsidi sebanyak RM4.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (ERAT).
Menurut Shamsul Azri, seramai 357,000 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan BDR setakat ini.
Beliau berkata kerajaan kini sedang mengambil pelbagai langkah persediaan bagi menghadapi impak krisis tenaga global yang dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan konsep kepimpinan yang digambarkan melalui akronim “TEGAS”.
Katanya, “T” merujuk kepada tindakan pantas, “E” bagi empati, “G” ialah gagasan yang jelas, “A” membawa maksud adaptif manakala “S” merujuk kepada strategi efektif.
“Kita akan mula merasai kesan krisis tenaga global bermula Ogos ini dan kepimpinan perlu bersedia menghadapi cabaran tersebut dengan pendekatan yang lebih responsif dan berkesan,” katanya.
BACA JUGA Air bocor RM200 juta setahun, rakyat Terengganu kini perlu bayar harga salah urus?